Search This Blog

Monday, June 29, 2009

Wibawa Harussani Semakin Pudar

Zambry merayu supaya Harussani tidak dikritik kerana dia bukan ahli politik. Nampaknya Harussani kini perlu dibela oleh MB Umno itu dek serangan ke atasnya. Dia kelihatan seperti tidak lagi dihormati. Baca sini.

Banyak perkara yang kita boleh salut dengan Harussani. Antaranya, pendedahan murtad, ketegasannya menyanggah SIS, menentang Islam Liberal dan menghapuskan ajaran sesat.



Berbanding beberapa mufti seusianya di negara ini, dia dikira paling lantang. Kelantangannya dalam beberapa hal menjadikan dia disukai oleh orang-orang Pas. Malah orang-orang Pas akan berduyun-duyun mengerumuni ceramahnya di masjid kerana terpukau dengan kelantangannya itu.

Orang Pas kebanyakannya tahu mufti ini bukan Pas. Malah beberapa pemimpin Pas pernah mengunjunginya dan berbindang dengannya. Mufti ini dihormati kerana pendiriannya selari dengan Pas dalam isu-isu yang berkait secara langsung dengan kepentingan Islam. Itu sahaja.

Namun selepas BN tewas teruk dalam PRU 12 yang lalu, mufti ini nampaknya bukan bercakap membela Islam tetapi lebih untuk membela Umno. Ini terbukti apabila beliau mengeluarkan kenyataan menyalahkan Nizar dan menyokong Zambry.

Sepatutnya beliau mengambil sikap menjadi pendamai dalam kemelut di Perak dan bukannya menyebelahi Umno. Beliau juga tidak perlu menyebelahi Pas. Kenyataannya yang menyalahkan Pas dalam insiden di Perak menghitamkan imejnya.

Beliau tidak perlu bekerja untuk Umno sama seperti beliau tidak perlu bekerja untuk Pas. Beliau boleh membela Islam dan mempertahankannya walau pun Perak dan negara ini diperintah oleh Pas. Justeru mengapa perlu beliau membela Umno?

Mungkin Mufti Kelantan tidak selantang Harussani, namun mufti itu lebih profesional. Setakat diketahui, beliau tidak pernah bercakap atas warna Pas walau pun sudah mencecah 20 tahun Kelantan diperintah oleh Pas. Begitu juga Mufti Selangor dan Kedah setakat ini.

Apabila mereka tidak mencelup diri dengan warna politik tertentu, maka mereka kekal dihormati dan disanjung oleh semua walau pun mereka tidak lantang.

Apabila Mufti Perak menentang Sure Heboh, melawan SIS, menghentam Islam Liberal, itu bukan bermakna beliau bersama Pas. Cuma sikap Mufti itu yang selari dengan Pas dalam isu-isu itu menjadikan dia disukai oleh Pas. Beberapa pemimpin Umno pula kritikal dengan mufti itu dalam isu itu.

Maksudnya yang menjadikan Harussani dan Pas kelihatan selari adalah isu yang ditangani dan pendirian terhadap isu-isu itu.

Tetapi apabila Mufti itu secara nyata bercakap bukan atas isu tetapi atas warna parti politik tertentu, maka dia dikira telah mengundang orang Pas untuk membentuk pendirian terhadapnya, Mufti Perak adalah Umno.

Apabila telah ada label itu, maka Mufti Perak perlu menerima hakikat bahawa dia akan disisihkan oleh orang Pas. Tidak mustahul kehebatannya membela Islam selama ini akan turut pudar ditelan warna Umno yang disokong dan dibelanya itu.

Justeru, sebelum warna kehebatannya pudar, Mufti Perak wajar membersihkan dirinya daripada warna Umno dan dia kembali kepada warna asalnya, warna pembela Islam.

Mufti Perak itu perlu tahu, Umno bukan pembela Islam.

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin