Umno sangat berminat dengan kerajaan perpaduan. Walau pun idea itu telah dinoktahkan oleh Pas, Umno tetap menyelinap mencari ruang untuk menghidupakannya semula. Ketua Penerangan Umno berkata, masih ada pemimpin Pas yang menyetujui idea itu.
Kalau benar ada pemimpin Pas yang menyetujuinya pun, itu tidak berbangkit lagi sebab idea itu telah dimuktamadkan untuk dinoktahkan. Ini keputusan rasmi parti.
Apabila Najib menolak pelawaan Mursyid Am Pas untuk berdebat, Pemuda Pas mengambil inisiatif menyambung idea debat itu dengan mempelawa Pemuda Umno pula. Menariknya, Pemuda Umno menyambut pelawaan itu.
Sambut Pemuda Umno dengan tolak Najib adalah sama sahaja dari segi taktikalnya. Najib menolak kerana pada pandangannya itu menguntungkan Umno. Pemuda Umno menyambut pun kerana pada pandangan mereka itu menguntungkan Umno.
Debat antara Najib dengan Nik Abdul Aziz bukan hanya soal siapa menang dan kalah dalam hujah, tetapi kehadiran Nik Abdul Aziz sahaja pun rasanya menyirnakan Najib.
Mungkin itu antara perkiraan Najib. Kalau Najib ingin menghantar ulama’ juga, siapa ulama itu. Adakah Nik Abdul pula bersedia untuk sepentas dengan orang selain Najib?
Jadi, debat Najib dengan Nik Abdul Aziz, bagi Najib lebih baik tak jadi daripada jadi.
Pemuda Umno pula menerima pelawaan itu dengan tujuan mengilas tangan Pemuda Pas. Sama ada Pemuda Umno mampu mengilasnya atau tidak, itu soal lain. Tapi apa yang kelihatan usaha mengilas tangan itu ada.
Bagaimana? Kenyataan Khairi Jamaludin bahawa pelawaan Pemuda Pas itu sebagai ‘menepati pandangan Pemuda Umno yang menginginkan kerjasama antara kedua-dua parti terjalin’ ada bau-bau idea kerajaan perpaduan.
Maksudnya, Pemuda Umno ingin terus mengaitkan debat ini dengan idea itu. Khairi mengukuhkan kenyataan Ketua Penerangan Umno bahawa memang benar ada pemimpin Pas yang bersetuju dengan idea kerajaan perpaduan itu dan pemimpin itu ialah Ketua Pemuda Pas Pusat.
Nampaknya, Khairi sudah menyiapkan otot lengannya untuk memulas tangan Nasruddin.
Pemuda Pas sendiri mengaku bahawa media salah lapor mengenai cadangan Pemuda Pas itu. Ya, media arus perdana milik Umno, Khairi orang Umno dan tentulah laporan media itu menguntungkan Umno. Bukankah itu langkah Khairi memulas tangan Nasruddin?
Pelawaan Nik Abdul Aziz dengan pelawaan Nasruddin tidak sama dari segi nilai dan kekuatannya. Nik Abdul Aziz mempelawa dalam keadaan semua orang tahu dia sangat menentang idea kerajaan perpaduan.
Nasruddin pula mempelawa Pemuda Umno dalam keadaan dia dilihat sebagai penyokong idea itu. Sebab itu Najib menolak pelawaan Nik Abdul Aziz dan Khairi menerima pelawaan Pemuda Pas.
Bagi saya, Khairi telah mula memulas tangan Nasrudin. Ketua Pemuda ini perlu ada kekuatan untuk menahan pulasan itu dan memulasnya kembali. Kalau tidak, Nasruddin tentu memulakan era sebagai ketua pemuda dengan kerutan muka sebab terpulas tangan.
Harap-harap tidak.
No comments:
Post a Comment