Search This Blog

Monday, August 24, 2009

PAS-Dulu Dan Sekarang

Oleh Zaid Ibrahim

Saya telah dijemput untuk menghadiri satu seminar anjuran PAS di Kota Bharu pada Sabtu lalu (15 Ogos). Terima kasih saya ucapkan kepada pimpinan PAS Kelantan kerana penghormatan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya. Maklumlah sayalah orang yang menyaman kerajaan negeri pada suatu masa dulu berhubung soal hukum hudud. Namun sebagaimana yang pernah saya jelaskan dahulu, saman itu dibuat atas dasar perundangan dan Perlembagaan, dan tidak ada kena-mengena dengan agama. Kalau ingin tahu lebih lanjut hal itu, saya telah jelaskan dalam buku saya "Saya Pun Melayu".



Yang menarik dalam seminar Sabtu lalu adalah perbincangannya berkisar hal-hal dalamam dan permasalahan parti yang diperkatakan secara terbuka. Itulah tanda keterbukaan PAS masa kini. Seminar itu diadakan di dewan Kelantan Trade Centre, sebuah bangunan canggih bertaraf lima bintang, untuk membuat post-mortem keputusan pilihan raya kecil Manek Urai serta merangka perancangan kekuatan PAS di masa depan. Kalau dalam tahun 1990 dulu bila UMNO teruk, pemimpin mereka berkata PAS hanya dapat bertahan satu penggal saja. Kini terbukti PAS telah memerintah Kelantan selama lima penggal dan sekarang menguasai Kedah pula. PAS telah bertambah maju manakala UMNO bertambah tempang.

Di seminar itu, saya telah mencadangkan PAS supaya jangan berpuas hati sebagai parti orang Kelantan sahaja. PAS, sebagai rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat, dan sekarang berkuasa di Kedah, harus befikir sebagai parti nasional. Putrajaya mesti menjadi sasaran PAS dan Pakatan Rakyat. Amatlah perlu PAS meneroka jalan baru dalam usahanya meluaskan pengaruh. Bukan saja intipati mesej politiknya perlu disampaikan dengan yang lebih canggih, pendekatan baru juga diperlukan supaya lebih ramai orang Melayu dan Islam menerimanya. PAS harus yakin bahawa ia adalah alternatif kepada UMNO untuk orang Melayu.

Pada masa yang sama, mesej politik PAS pula mestilah mendapat sokongan semua kaum, atau sekurang-kurangnya orang bukan Islam tidak menentang atau menolak PAS. PAS mesti memperjuangkan hak asasi manusia atau "human rights" yang memangpun dituntut oleh Islam. PAS perlu menerima hakikat bahawa Malaysia ada lebih 100 suku kaum dan kepercayaan agama yang berbeza. Saya setuju dengan kata-kata Nik Amar Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS II Kelantan, iaitu cara atau proses penyampaian sama pentingnya dengan dasar dan intipati perjuangan parti. Kita mesti bulatkan kata. Jangan pula pepat di luar, pencong di dalam.

Walau pun sudah banyak perubahan dalam PAS hari ini berbanding tahun-tahun 1990-an dahulu, masih ada segolongan kecil pemimpin mereka yang was-was tentang cita-cita parti lain dalam Pakatan Rakyat. Mungkin ada juga parti lain dalam Pakatan yang turut syak wasangka terhadap PAS. Ini mesti berubah dan perlu diatasi oleh pucuk pimpinan Pakatan. Hanya kekuatan muafakat sebenar dari ketiga-tiga parti Pakatan ini mampu mengatasi Barisan Nasional.

Kita tahu UMNO akan sentiasa mempermainkan cita-cita kita dalam Pakatan kerana memang tabiat mereka suka memperlekehkan keupayaan orang lain. Bukan sahaja Pakatan, malah orang Melayu dan Islam yang mereka tak suka juga mereka hina dan jatuhkan maruah. Tetapi itu tidak mengapa. Gabungan PAS, KeADILan dan DAP serta parti parti lain di Sabah dan Sarawak mampu mengatasi BN jika pilihan raya yang bersih dan adil dapat diadakan. Syaratnya kita mesti teguh bersatu. Ketiga-tiga parti Pakatan ini tahu bahawa mereka hanya mampu mengatasi BN dengan dasar yang kukuh dan kemas yang dicapai secara perundingan dan konsensus serta boleh dipercayai oleh rakyat semua kaum. Menjadi rakan hanya untuk membantu dalam masa berkempen pilihan raya tidak cukup. Kita harus menjadi sahabat dan saudara seperjuangan untuk memastikan berakhirnya era ketidakadilan UMNO dan BN.

Pucuk pimpinan ketiga-tiga parti ini sudah pun bersetuju dengan prinsip-prinsip utama perjuangan Pakatan Rakyat. Cuma huraian yang terperinci perlu dibuat di atas platform dan dasar bersama ini. Jika ini dapat dipenuhi dengan isi yang memuaskan, maka proses untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai satu gagasan atau wadah rasmi akan berjaya tidak lama lagi. Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, apa-apa isu remeh dan salah faham sesama pemimpin dan ahli perlu diselesaikan segera. Rakyat pula diharap bersabar dengan proses ini. Saya yakin jika rakyat dapat menanggung sengsara UMNO dan BN lebih 50 tahun, apa salahnya diberi peluang untuk Pakatan bersiap sedia mengharungi badai politik. Insya Allah hasrat rakyat melihat Pakatan bersatu melawan BN satu lawan satu akan tercapai juga akhirnya.

*Zaid Ibrahim ialah bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri, kini pemimpin Pakatan Rakyat. Tulisan ini dipetik dari http://www.myzaidibrahim.com/.

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin