Search This Blog

Friday, August 21, 2009

Putar Belit: Tuan Guru Nik Aziz Mahu Saman Akhbar!

nukilan Annual Bakhri Haron

Mengikuti penjelasan balas Tok Guru Nik Abdul Aziz semasa menangani isu “ahli Umno tak masuk Syurga” cukup menarik. Ia seakan-akan atau hampir seiras dengan hantaran “peluru buatan” yang diletupkan kepada khalayak sebelum ini iaitu “cakap saya( Nik Aziz) mesti didengar” (Utusan Malaysia, Jun 2009) yang berakhir dengan permohonan maaf secara terbuka oleh akhbar ejen Umno itu. Ramai pemerhati meramalkan fitnah dan putar belit dalam pusingan ini mungkin boleh berakhir secara “sad ending” juga. Ini mudah dijangka sebaik saja meneliti reaksi Timbalan Presiden Umno yang melatah diluar dari sukatan.

Anehnya, cukup dengan satu signal bahawa Majlis Fatwa perlu membuat keputusan yang dikeluarkan oleh Muhyidin Yasin pada pagi 19 Ogos 2009, pada keesokan harinya yakni pada 20 Ogos 2009, pihak Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan “bahawa kenyataan Menteri Besar Kelantan (Nik Abdul Aziz itu) salah dan seleweng”. (Berita Harian, muka depan, 20 Ogos 2009). Amboi, segeranya !

Tidakkah terfikir oleh para Mufti kita yang menganggotai Majlis Fatwa untuk meneliti terlebih dahulu apa yang sebenarnya diucapkan oleh Menteri Besar Kelantan sewaktu sidang akhbar, selepas proses penamaan calon pada 17 Ogos itu ? Kandungan bunyinya adalah seperti berikut:

‘‘Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh UMNO ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa UMNO.


‘‘Islam ini tidak boleh bawa ke akhirat, tidak boleh bawa ke syurga, dia boleh bawa dekat pintu kubur. Bertengkar atas muka tak habis-habis dengan Melayu sendiri boleh bertengkar.’’ (Sumber: Utusan Malaysia, muka depan 21 Ogos 2009). Di peringkat ini, bolehkah agaknya jika saya bertanya samada Majlis Fatwa telah membaca transkrip ini sebelum memutuskan bahawa Mursyidul Am PAS telah salah dan seleweng?

Mari kita cuba baca buat kali kedua dan seterusnya jika masih kurang jelas. Kemudian, jika perlu mentelaah, bukalah buku-buku yang ditulis oleh Yusuf Al-Qardhawi atau Syed Naquib Al-Attas mengenai Islam, nasionalisme dan sekularisme. Tolak jauh-jauh pengaruh emosi. Gunakan aqal, iman dan taqwa sepenuhnya dalam semangat objektiviti yang sehabis murni untuk menilai letak duduknya kata-kata ini. Bersifat cerewet dan teliti, mana yang kononnya Nik Aziz itu telah memborong bahawa semua ahli Umno tak masuk syurga? Mana pula perkataan yang kononnya Nik Aziz itu telah menyamakan Islam Umno itu dengan Islam cara Palestin? Ini sah fitnah. Fitnah !

Dalam hubungan ini,tidakkah pula terlintas kepada pihak Majlis Fatwa untuk meneliti kandungan penjelasan Menteri Besar Kelantan yang telah dibuat pada 18 Ogos 2009 yakni satu hari selepasnya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pendirian? Ia ada dikeluarkan oleh TV3 sebahagiannya pada malam itu juga dan Astro Awani pada malam yang sama. Inilah apa yang dikatakan orang, pentingnya kita untuk tidak tergopoh-gapah, banyakkan bersabar, bertenang, dan lebih berfikir dalam berzikir. Apa gunanya terlalu cepat jika boleh membawa silap !

Untuk bersifat adil kepada semua yang tidak mempunyai Internet atau tidak melanggani Astro termasuk Majlis Fatwa demi meneliti apa yang sebenar dan sebetulnya diucap oleh Mursyidul Am PAS, izinkan saya membuat kutipan dari jawapan beliau secara verbatim. Dalam siaran yang telah dimuatkan ke dalam “youtube”, ia sepenuhnya berbunyi seperti berikut:

“ Saya nak sebutlah mula-mula sekalinya, saya baca dua buah akhbar perdana hari ini dan ada perkataan Palestin. saya nafi sekeras-kerasnya. ini nak melaga-lagakan saya dengan Palestin pula. tak betul. siapa dia yang buat kerja ini, wallahhua’lam.

Yang keduanya perkataan “ahli umno tak masuk syurga.” saya tak biasa guna ahli umno, saya guna penyokong umno. ahli lain, penyokong lain.

Yang ketiganya, memang mana-mana orang Islam yang asingkan iman daripada islam tidak akan masuk syurga. Orang yang asingkan iman dengan islam yakni yang berpada dengan islam sahaja tanpa iman, mustahil (akan) masuk syurga. Sebab itu, Quran menetapkan perkataan ikhlas. Ikhlas dan iman lebih kurang sama. jadi “wama umiru illa liya’ budullah hamukhlisin” , tidak ada benda yang aku suruh kepada manusia kecuali satu,(iaitu) mengabdi kepada aku dengan ikhlas. ikhlas ini (perkara yang) terlibat dengan hati. Hatilah tempat duduk iman.

Jadi, mana-mana gerakan orang Islam yang hanya mementingkan Islam sahaja, tanpa iman, mustahil masuk syurga. Itu yang saya kata hari ini. jadi ini bukan fatwa baru. Surat khabar sebut fatwa baru Nik Aziz. Itu mengumpat kita panggil. Nak melaga-lagakan (dan bersifat) mengumpat, itu bukan fatwa baru.

Di zaman Nabi Muhammad SAW sendiri masih hidup lagi pun, sudah ada orang yang hendak mengasingkan Islam dengan iman iaitu Abdullah bin Ubai. Abdullah bin Ubai ini bersembahyang bersama dengan Nabi, dengar ceramah Nabi bahkan keluar berperang bersama dengan Nabi dan mengaminkan doa bersama Nabi.

Tapi dia senyap-senyap dia buat satu gerakan lain dan dia buat sebuah masjid. Dalam Quran sebut benda ini “dhirar “. Masjid itu akan dibakar. Diruntuhkan dibakar, kerana apa ? Ini kerana usaha dia hendak mengasingkan berpada dengan Islam tidak mahu bersertakan dengan iman. Ini tidak boleh. sekular sebut islam tak apa la. Tak tahu iman dimana. Itu sekular. Islam tidak begitu. Islam ini komponen bagi iman . Islam mengajar kita (supaya kita) mesti sebatikan Islam dengan iman, sebagaimana sebatinya tubuh dengan roh. Tubuh kita ni sebati dengan roh.

Itu agak saya tahu dah. Otak umno dan otak orang PAS sama saja. Sama bodoh sama cerdik belaka. Tapi nak buat modal ni dalam pilihanraya (Permatang Pasir) ini kerja bodoh orang panggil. Nak tunjuk kebodohan kita dalam berpolitik. Sebab itu saya kata nak bersatu PAS dengan UMNO tak ada cara lain, daripada hanya UMNO tukar dasar daripada kebangsaan kepada Islam, itu baru bersatu. Ketika itu tak tahu PAS dimana UMNO dimana, Melayu muslim belaka, muslim yang mukmin. dengan cara lain, perpaduan dengan pakatan (kerajaan perpaduan), tak usah lah. Kami dah serik dah.

Soalan press : kalau dia tarik balik ?

Tok Guru : Terserah kepada lawyer lah. Lawyer pandai lah buat, kalu dia mintak maaf. mintak maaf jadi begitu, tak mintak maaf jadi begini.

Yang akhir sekali saya nak sebut, ialah tolong merdekakan fikiran kita daripada menjadi pak turut manusia kepada pak turut Nabi Muhammad. Tolong merdekakan fikiran kita daripada menjadi pak turut sesama manusia. Turut orang Eropah manusia juga .
Turut orang putih manusia juga. Tolong merdekakan jadi pak turut manusia sama manusia kepada menjadi pak turut Nabi Muhammad saw. Kerana Nabi Muhammad (saw) ini orang kalu kira orang engineer yang bertauliah. Bukan nak baiki kereta, bukan nak baiki motor, tapi nak baiki manusia. tak ada orang boleh baiki manusia selain daripada golongan Nabi-Nabi dan Nabi Muhammad (saw) ini adalah Nabi. Baginda ialah engineer bertauliah daripada Allah swt. Apa saja kerosakan manusia, kita kena tanya Nabi Muhammad (saw).

Menyentuh tentang Mufti Perak, sepatutnya sebelum seorang mufti membuat kenyataan kalau boleh tanya saya dulu. Tanya tuan punya cakap. Tak boleh kita turut surat khabar. Surat khabar hari ini (adalah) surat khabar arus perdana. Ia surat khabar UMNO. Jadi, macam mana kita nak buat kenyataan berdasarkan apa yang surat khabar (paparkan).”

[ Kenyataan akhbar Tuan Guru Dato’ Menteri Besar di Pejabat Menteri Besar, Kota Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan, bertarikh 27 syaaban 1430/18 Ogos 2009. (Selasa) ]

Bagi Tuan Guru, beliau tiada masalah untuk meneliti fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang menjatuhkan hukuman ke atas beliau sebagai bersalah. Bahkan,beliau menegaskan bahawa jika Majlis itu perlukan penjelasan, mereka boleh menulis surat atau datang sendiri untuk bertanya khabar demi mendapatkan penjelasan dan mencari kebenaran. Walaubagaimanapun, seperti yang beliau terasa terkilan dengan sikap mufti Perak, maka begitulah juga dengan sikap Majlis Fatwa yang menggunakan akhbar perdana sebagai satu-satunya sandaran primer, yang seterusnya hanya kembali kepada satu keputusan yang diambil kira-kira lapan tahun yang lalu iaitu pada 23 Mac 2001. Bahkan Nik Abdul Aziz turut menegaskan dalam sidang akhbar beliau dalam isu ini pada 20 Ogos 2009 di Pejabat Menteri Besar iaitu beliau sedia untuk menyertai perbincangan ilmiah atas perkara ini jika Majlis Fatwa masih merasakan ia perlukan penjelasan. “Demi mencari kebenaran, saya bersedia untuk berdepan dalam semangat dakwah, insyaAllah”, tegas beliau.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, ada satu lagi berita dari Bernama online diatas tajuk “Penduduk Permatang Pasir jangan emosi” pada 20 Ogos 2009. Berita ini, saya kira perlu dipandang serius dan perlu difatwakan oleh Majlis Fatwa. Dalam berita itu, Bernama memetik Timbalan Presiden UMNO sebagai berkata bahawa “Beliau (Muhyiddin) menyelar kenyataan Mursidul Am PAS dengan menegaskan bahawa “Ini soal politik. Bila politik dicampur aduk dengan agama…bahaya” (Sumber: Bernama online, 20 Ogos 2009)

Jika tidak silap saya, pegangan yang memisahkan agama dari politik ini disebut jumhur ulama’ sebagai faham sekular. Dalam konteks ini, jika Majlis Fatwa boleh bertindak sedemikian segera atas kenyataan Tok Guru Nik Aziz, maka tidakkah Majlis yang sama berhasrat mengeluarkan apa-apa fatwa ke atas Muhyiddin? Jika semalam, bagaikan Superman, Majlis Fatwa boleh terbang sepantas kilat untuk menjengkal muka Tok Guru justeru mematuhi arahan atasan, maka jangan salahkan rakyat jika mereka menunggu reaksi yang sama dari tuan-tuan mufti sekalian. Nyatakanlah. Salah? Tak salah? Seleweng? Tak seleweng? Perlu bertaubat? Tak perlu bertaubat?

Dalam konteks PRK Permatang Pasir, bagi pengundi Islam, mereka tentu ingin merakamkan sokongan mereka kepada sebuah parti Islam yang membawa perjuangan Islam syamil yang sebenar. Mereka tidak sanggup memangkah parti Umno yang mengamalkan Islam dari klon sekular; agama suku dan politik suku. Mana boleh diasingkan iman dengan Islam dan Islam dengan politik? Islam jenis sekular yang diperjuangkan oleh Umno inilah yang Tok Guru namakan sebagai Islam palsu. Sebagaimana adanya wang palsu, rambut palsu atau kad pengenalan palsu; begitu jugalah dengan Islam kacukan. Benda palsu; nampak macam sebenar tetapi ia tetap tidak original. Bagi yang ahli, dia akan tetap tahu membezakan antara bunga hidup dengan bunga plastik. Dengan keadaan tidak tulin itulah timbulnya keraguan. Soalnya bolehkah yang syak itu dibawa untuk mendapatkan anugerah syurga Allah di akhirat kelak? Tok Guru bercakap dari sudut kaedah. Jika buat begini ia boleh jadi begini. Jika tidak sempurna wudhu’, amalan sembahyang tidak diterima. Jika tolak Islam, bermakna kufur. Demikianlah seterusnya. Ini soal kaedah. Orang kufur tidak akan masuk Syurga. Ini bukan soal Tok Guru mendahului Tuhan atau lebih tahu dari Tuhan,wal iyazubillah. Saya percaya, para pengundi Islam di DUN Permatang Pasir secara khusus dan umat Islam pada umumnya boleh dengan mudah memahami persoalan dan mantik di sebalik persoalan ini.

Pendek kata, pada saya, polemik ini menyentuh hanya satu persoalan sahaja iaitu memilih sebuah kemurnian antara Islam asli bawaan Nabi-Nabi dengan Islam sekular yang hanya “menoleh pandangan daripada alam-alam lain yang ghaib kepada alam tabii belaka,dan khusus kepada dunia ini sahaja”(Lihat Al-Risalah,Prof. Muhammad Naquib Al-Attas, halaman:197). Jika kita boleh sama-sama menerima bahawa salah satu wajah utama sekularisme itu ialah faham yang memisahkan agama dari pemerintahan dan ia adalah sesat, maka demikian jualah status letak duduknya mana-mana aliran pemikiran dan isme yang tumbuh dari pasu itu.

Jangan sampai orang boleh hilang hormat terhadap ahli ugama kerana terlalu kerap menukar topi menurut selera elitis kuasa dan para ningrat. Hal ini sering disebut dengan sinis oleh William Shakespeare dalam tulisan beliau berjodol “Much Ado About Nothing.” Beliau mengungkap kira-kira begini. ” He wears his faith but as the fashion of his hat”.

Paling tidak, bersikap jujurlah terhadap ilmu kalaupun tidak malu kepada orang. Sebaik-baiknya, malulah kepada Tuhan.

Annual Bakri Haron

21 Ogos 2009

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin