Search This Blog

Thursday, July 16, 2009

Pilihan Raya Kecil: Kemenangan Tipis 'Pengajaran' Kepada Pas

Oleh Mohd Sayuti Omar

SEPERTI mana diduga awal-awal (tetapi dugaan ini sangat tidak disukai oleh sesetengah orang Pas), keputusan pilihan raya kecil Manik Urai hari ini tepat. Bahawa Pas bukan saja menang dengan majoriti (dijangkakan) 500 undi, tetapi jauh merudum dari itu. Pas hanya menang tipis dengan mendapat 65 undi sahaja.

Dengan majoriti sebanyak ini, bermakna UBN hanya perlu merampas 33 undi saja lagi untuk memenangi kerusi Manik Urai.




Apakah undi sebanyak 65 itu disumbangkan oleh Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang dihalang turun oleh Pas Kelantan tetapi turun juga disaat-saat akhir demi penghormatannya kepada pilihan raya berkenaan?

Keputusan sekejap tadi sudah pasti menggembirakan UBN. UBN boleh berbanga kerana kejayaan mereka mengurangkan majoriti diraih Pas menerusi Pak Su Weil dalam pilihan raya umum dulu dari 1,352 undi kepada hanya 65 undi sahaja, iaitu penurunan sebanyak 1,267 undi.

Kejayaan ini memberi kebanggan berganda kepada UBN kerana dalam lima pilihan raya kecil lain sebelum ini mereka kalah. Setengahnya dengan majoriti bertambah kepada pembangkang tetapi berlainan di Kelantan. Undi UBN bukan merosot tetapi bertambah berpuluh kali ganda.

Apa lagi dalam keadaan Pas dikatakan begitu kukuh dan kerajaannya (kerajaan Kelantan) menjadi kebanggaan seluruh orang Pas, tiba-tiba ia berjaya dikejutkan UBN begitu rupa sekali? Di lihat dari sudut mana sekalipun Pas Kelantan harus merasa malu dan perlu mahasabah diri dengan apa yang berlaku hari ini.

Keputusan ini sudah pasti akan dijadikan kayu pengukur dek UBN untuk membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya di masa akan datang termasuk pilihan raya umum. Mustapa Mohamed yang diberi tanggungjawab semula selaku Pengerusi Umno Kelantan sewajarnya boleh tersenyum dengan keputusan itu.

Mustapa boleh mendakwa bahawa beliau lebih diterima dari sesetengah pemimpin Pas di Kelantan yang mendabik dada dan cuba menunjuk hebat dan kononnya digilai rakyat Kelantan pada masa ini.

Baiklah... melihat kepada nasib yang dialami Pas ini, apakah ianya boleh dibiarkan begitu saja dan dianggap sebagai satu takdir Allah? Ataupun orang Pas Kelantan masih boleh terus ‘manggak’ dengan beranggapan bahawa mereka masih menang dan masih berkuasa dan masih kuat? Begitukah? Anggapan demikian pada saya tak ubahlah si buta yang jatuh ke dalam telaga tetapi berhelah untuk menutup malu dengan mengatakan dia sengaja turun kerana ingin minum air di bawah.

Bagi pemerhati politik mereka tetap akan membuat analisa mengenai keputusan hari ini. Mereka yang rasional dan faham politik tidak boleh menerima kemenangan Pas yang tipis ini sebagai takdir atau kehendak Allah begitu saja. Sebab dan musabab 'kekalahan' itu perlulah diselidiki untuk menjustifikasikan keputusan hari ini bagi dijadikan iktibar di masa depan.

Analisa ini perlu telus dan saksama untuk memberi ingatan kepada Pas agar tidak merana dilain kali. Dan ahli Pas termasuk yang taksub juga hendaklah terima dengan terbuka dan rela hakikat yang berada di hadapan mata.

Selama lapan hari berkempen tidak ada kejadian yang buruk berlaku. Tidak kedengaran UBN bertindak secara agresif ataupun berlaku jahat dan bermain kotor seperti mana dakwaan-dakwaan dilakukan UBN sebelum ini. Keseluruhan pilihan raya itu berjalan dalam suasan baik dan bersih.

Jadi kakalahan ini Pas tidak boleh menunding kepada Umno...seperti mana selalunya. Seperti kerana ada pengundi hantu, ugutan, rasuah dan sebagainya. Dalam hal ini kemenangan tipis itu Pas hendaklah meletakkan petaka dan celakanya ke atas batang tubuhnya sendiri. Pas jangan mencari kambing 'jamnapari' hitam untuk dipersalahkan!

Apa yang sempat dihimpunkan di sini dalam melihat kemenangan tipis Pas ini ialah disebabkan beberapa faktor berikut;

  • Pas telah silap dalam meletakkan tema pilihan raya berkenaan dengan cuba melokalitikan pilihan raya berkenaan dan tidak mahu ianya dilihat sebagai pilihan raya nasional. Ini bertentangan dengan skop perjuangan Pas itu sendiri yang bersifat nasional yang memakai slogan Pas for All.

  • Pas terlalu mempercayai kepada kredibiliti dan personaliti Tok Guru Nik Aziz sebagai modal dan aset, sehingga Pas merasakan tokoh-tokoh lain tidak memberi sumbangan kepada Pas dan mereka tidak penting malah dianggap sebagai libaliti kepada Pas.

  • Pas bersikap cuba menghadapi pilihan raya itu dengan anak beranaknya sendiri tanpa mahu melibatkan orang luar. Pas cuba menunjukkan keheroan ataupun cuba menampilkan hero lokal mereka dalam berpilihan raya dengan harapan akan menjadi hero di peringkat nasional. Justeru kerana itu ada petugas tidak rasmi Pas dari Kelantan yang menghalau petugas negeri lain agar tidak datang bergelewat di Manik Urai.

  • Begitu juga, mereka merekakan cukup kekuatan tenaga dan kewangan kerana mereka memegang kerajaan selama 18 tahun maka mereka merasakan tidak lagi memerlukan sumbangan dari ahli luar. Sikap ini menyebabkan komitmen ahli luar dalam pilihan raya Manik Urai tidak sekuat komitmen mereka pada pilihan raya kecil sebelum ini.

Rumusan daripada itu semua menjelaskan Pas menghadapi pilihan raya itu tanpa sokongan menyeluruh ahli Pas dari negeri-negeri lain. Begitu juga tanpa sokongan rakan dalam pakatan terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kelantan. Ini terbukti bilamana tokoh-tokoh Pas dari negeri lain tidak disenaraikan ataupun ada yang sama sekali dilarang agar menghadiri diri di Manik Urai manakala tenaga dan sumbangan PKR dipandangan lekeh.

Tindakan-tindakan itu pula secara tidak langsung menjelaskan Pas menghadapi pilihan raya Manik Urai dalam keadaan bermasalah dan tempang. Paling parah lagi ketempangan itu bukan saja Pas melarang penceramah dari luar tetapi tokoh-tokoh Pas dari Kelantan juga diketepikan ataupun tidak diberikan peranan sewajarnya. Tindakan ini ialah kerana ada golongan yang ingin menonjolkan ‘tanah rancanganya’ saja dan dalam masa sama mahu menenggelamkan ‘tanah rancangan’ orang lain.

Perkara lain yang nyata dalam pilihan raya ini ialah kelemahan pada jentera pilihan raya Pas bermula dari peringkat pengarah dan pegawai. Ternyata pengarah pilihan raya kecil Manik Urai termasuk juga penasihatnya operasinya sudah usang dan ketinggalan zaman.

Arahan-arahan atau keputusan yang dibuat oleh JPN ini khasnya Abdul Fatah Haron tidak profesional dan berbau ‘perkauman’ sesama sendiri dan sikap ini dapat dirasai oleh kebanyakan ahli Pas. Sepatutnya sikap jumud dan manggak ini tidak ada kepada JPN dan sepatutnya ia menerima semua orang sebagai satu saf dalam perjuangan tanpa diasingkan dengan motif politik peribadi yang merugikan parti.

Mungkin sikap ini berlaku kerana over confident? Sebab itulah awal-awal lagi JPN telah meletakkan sasaran Pas boleh menang sehingga 2,000 undi dan enggan sumbangan pemimpin di luar Kelantan daripada ikut berkempen di Manik Urai? Perang saraf dengan angka ini agak melampau dan ego. Keadaan ini terbawa sehingga ke hari mengundi bila mana belum apa-apa Fatah terlah membuat kenyataan media kononnya Pas menang dengan majoriti 1,700 undi.

Dengan keputusan hari ini adalah elok kalau Tok Guru Nik Aziz Nik Mat melipat ganda sembahyang tahjut atau hajat bagi mencari di mana silap dan salahnya dan mendapat petunjuk dari Allah bagaimana untuk memperbetulkan semula keadaan menyebabkan Pas menang tipis. Sekiranya beliau merasakan badan perhubungan Pas disusun semula maka beliau perlu bertindak tanpa bertanya kepada para penasihat yang sifatkan menyesatkan itu untuk mendapat pertunjuk dan formulanya.

Adalah lebih baik kalau kali ini beliau cuba untuk tidak akur kepada penasihat yang sebegitu dan cubalah melihat kepada arah mana bayang mentari jatuh. InsyaAllah Pas boleh perbetulkan apa yang pincang dalam Pas Kelantan hari ini.

Kemenangan tipis siang tadi menjelaskan bahawa para general yang dipercayai Tok Guru kini ditolak oleh rakyat menerusi peti undi di Manik Urai itu. Kalaulah pengundi Manik Urai yang dianggap sebagai pengundi pedalaman dan buta IT boleh melihat kemudaratan itu apa lagi dengan pengundi yang celik IT dan bijak menikah politiking pemimpin, tidak hairanlah kalau mereka akan lebih menolak Pas!

Sementara seafdal-afdal tindakan mereka yang merasa hero dan bangga kerana diberi kepercayaan untuk mengatur tektik dan strategi pilihan raya kecil itu ialah dengan melepaskan jawatan sebagai membuktikan bahawa mereka gantlemen dan mengambil tanggungjawab atas kemenangan tipis itu. Lakulah demi masa depan Pas Kelantan! [wm.kl. 10:30 pm 14/07/09]

http://msomelayu.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin