PENASIHAT operasi Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) Pas Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah tampil memberi penjelasan kenapa Pas telah membuat prediction awal mengatakan Pas menang dengan majoriti 1,700 undi sedangkan proses pengundian sedang berjalan.
Menurut cikgu Rahim kenyataan yang dianggap sebagai over confident oleh Fatah itu juga bertujuan melumpuhkan keghairahan kempen jentera UBN dua jam terakhir untuk mendapatkan undi. Bagi perkiraan mereka bila diwar-warkan Pas sudah menang besar maka UBN akan lemah dan mengaku kalah sebelum sampai saat nokhtah.
Kenyataan atau penjelasan cikgu Rahim itu senada dan seirama dengan jawaban Fatah mengenai kemunasabahan beliau berbuat penyataan mendahului takdir. Menurut Fatah pengumuman awal kemenangan besar Pas itu sebagai strategi politik tanpa mengira maruahnya sebagai pemimpin yang boleh diragukan.
Mungkin bagi mereka yang bukan strategis menerima penjelasan cikgu Rahim dan Fatah itu mentah-mentah dan menganggap mereka berdua bijaksana. Tetapi bagi mereka yang tahu seluk belok politik dan dapat membezakan mana strategi yang positif dan negatif boleh mempertikaikan kewibawaan mereka selaku pengarah dan penasihat jentera pilihan raya.
Mungkin cikgu Rahim berbuat begitu dengan tujuan seperti mana disebutkan itu. Bila UBN telah mengetahui Pas menang besar menyebabkan mereka (UBN) lemah semangat untuk berkempen dan akhirnya akan meninggalkan pusat pengundian begitu saja. Maknanya UBN akan memberi kemenangan percuma kepada Pas.
Tetapi soalnya apakah bilik gerakan Pas mendapat maklumat tepat mengenai apa yang berlaku di pihak UBN untuk mengguna pakai strategi itu? Dan apakah cikgu Rahim dan Fatah tidak terfikir apabila mereka membuat kenyataan itu menyebabkan pengundi Pas yang rasa selesa dengan angka itu merasakan tidak perlu keluar lagi? Ini merugikan di pihak Pas!
Ataupun tidak terfikirkah dengan kenyataan itu juga menjadikan pengundi atas pagar dan yang bersimpati dengan UBN tidak jadi lemah longlai sebaliknya mereka menguatkan lagi usaha dan semangat untuk keluar mengundi. Sudah tentu jentera UBN yang benar-benar mengharapkan mereka dapat mengurangkan majoriti juga akan meningkatkan usaha mereka habis-habisan apabila mendengar kenyataan itu.
Strategi yang dibuat Cikgu Rahim dan Fatah ini nampaknya tidak begitu bijak dan mengambil kira berbagai aspek dan kemungkinan yang kemudian membidas balik kepada Pas. Pertamanya mengenai moral Pas itu sendiri. Ternyata apabila Pas akhirnya menang dengan hanya 65 undi menyebabkan kenyatana itu memakan diri sendiri. Orang akan melihat bahawa kenyataan atau prediction mereka berdua meleset sama sekali dan di sinilah wibawa mereka sebagai pengarah dan penasihat jentera pilihan raya boleh dipertikaikan.
Mungkin di sinilah menyebabkan timbul persoalan sejauh manakah mereka ini mempunyai kepakaran dalam mengatur strategi dalam pilihan raya yang terkapit seperti di Manik Urai itu? Sepatutnya mereka tidak menggunakan strategi serangan psikologis yang boleh memakan diri seperti itu.
Dalam keadaan begitu apa yang sepatut dilakukan ialah merendah diri atau pun bersikap tenang menunjukkan Pas dalam keadaan kalah. Dengan cara itu ia boleh menggamit mana-mana pengundi Pas untuk jadi lebih agresif untuk keluar mengundi bagi memastikan calon mereka menang.
Pada saya strategi ini adalah strategi songsang menggambarkan kesempitan dan kelemahan jentera pilihan raya yang dipandukan oleh kedua-dua Abdul ini. Apa yang berlaku itu sudah pasti ada kena mengena dengan tindakan mereka yang enggan menerima pandangan tokoh-tokoh lain kerana begitu yakin dengan kebolehaan mereka yang sememanya belum teruji.
Sekiranya mereka meluaskan meja perundingan pasti strategi yang 'leweh' itu tidak digunakan. Apabila mereka mengguna pakai strategi ini maka kelas mereka sebagai pengarah dan penasihat bertaraf penasihat 30%.
Sepatutnya Pas tidak membiarkan cikgu Rahim menjadi penasihat kepada JPN dan memainkan peranan penting dalam pilihan raya kecil itu. Pas harus melihat sejauh mana kemampauan Wan Rahim semasa beliau menjadi pengarah pilihan raya umum Kelantan tahun 2004 dulu. Seharusnya orang yang sudah kondem tidak lagi terus digunapakai kerana kelemahannya sudah jelas. Makanya keputusan buruk pilihan raya itu seharusnya dijadikan ukuran untuk menerima pakai khidmat cikgu Rahim dan juga Fatah.
Dalam pilihan raya 2004 dulu beliau jadi pengarah. Pas mengalami kekalahan teruk sehingga hampir kehilangan kerajaan. Dalam masa sama juga beliau turut bertanding di Kuala Krai dan turut kalah. Sepatutnya sebagai pengarah beliau tidak bertanding dan menumpuan kepada kerja-kerja pengarahan kepada seluruh jentera di Kelantan.
Atau pun mungkin juga dengan politik liberal yang dipraktikan Pas sekarang ini strategi ataupun ilmu siasah Cikgu Rahim dan Fatah sudah usang dan tidak relevan lagi. Maka elok kalau Pas Kelantan mula mencari dan mengenal bakat-bakat atau ahli strategi baru yang lebih bijaksana, bersikap terbuka serta luas pengetahuan dalam aspek perancangan politik dan diplomasi. [wm.kl. 1:00 am 16/07/09]
No comments:
Post a Comment