Tindakan Jeff Ooi, pegawai ketua menteri Pulau Pinang menarik balik kenyataannya yang bersifat menghina Islam tidak menyelesaikan langsung kontroversi tidak perlu yang ditimbulkannya.
Ooi tidak meminta maaf atas kenyataan tidak bertanggungjawab dan mempamerkan kedangkalan pemikirannya itu, menjadikan penyelesaian kontroversi ini hanya di peringkat politik
Kenyataan Ooi itu membawa beberapa implikasi besar, kerana mengaitkan syariah dengan ekstremisme agama. Sekiranya Jamaah Islam Malaysia yang bersifat lebih liberal itu boleh dikaitkan dengan ekstremisme, wajar sekali Ooi juga menangani perkara yang lebih besar, iaitu PAS yang kini menjadi parti sekutu DAP dalam Pakatan Rakyat.
Kenyatan Ooi telah meninggalkan rasa tidak selesa dan prejudis yang berpanjangan, yang telahpun melebarkan lagi keretakan dalam gabungan Pakatan Rakyat yang menyatukan Islamis dengan liberal dalam kerjasama politik.
Dalam kalangan konservatif Melayu/Muslim terutamanya, tindakan Ooi itu memberikan sebab untuk mendesak penilaian semula kerjasama PAS — parti Melayu Muslim terbesar selepas Umno — dengan rakan-rakan PR yang dengan tidak cermat berterusan menyinggung perasaan sejumlah besar masyarakat Melayu Muslim di negara ini.
Gabungan Pakatan Rakyat — seperti gabungan Barisan Alternatif sebelum ini ¨C ialah pakatan politik yang secara teori sukar dilaksanakan. Ini kerana perbezaan ideologi yang besar dalam kalangan parti-parti terbabit, melibatkan individu-individu liberal yang propasaran bebas, aktivis kesatuan sekerja, aktivis berhaluan kiri, dan Islamis.
Sikap dan tindakan DAP sejak Pakatan Rakyat mendapat kemenangan selesa pada Pilihan Raya Umum ke-12 lebih setahun lalu menunjukkan gabungan pembangkang ini sukar untuk bergerak dengan lancar sebagai sebuah pakatan politik.
DAP pernah bergabung dalam satu pakatan bersama PAS dengan susunan kompleks melalui Semangat 46, dan bergabung dalam satu pakatan melalui Barisan Alternatif. DAP sepatutnya lebih memahami politik pakatan selepas melalui proses tersebut.
Tindakannya yang terus mengabaikan rakan pakatan lain menunjukkan sama ada ia gagal belajar daripada pengalaman atau sengaja terlibat dalam permainan kuasa untuk tujuan tertentu.
Sekiranya wakil PAS dalam Pakatan Rakyat boleh dituntut supaya dikenakan tindakan disiplin, DAP juga perlu dikenakan tindakan yang sama kerana ketiadaan disiplin dalam bertindak dan mengeluarkan kenyataan.
Pakatan Rakyat sememangnya memerlukan satu struktur yang lebih konkrit, dengan sekretariat tetap yang lebih teratur untuk mengukuhkan kerjasama politik sekiranya pakatan itu ingin dilihat terus hidup.
Usaha ini perlukan kerjasama semua untuk berjaya, bermula dengan persetujuan atas kerjasama yang ingin dilaksanakan, dan pada masa sama menerima perbezaan ideologi masing-masing, tanpa bercakap atau bertindak memaksa rakan lain meninggalkan ideologi mereka.
Walau bagaimanapun, apa yang telah dilihat sejak lebih setahun lalu memperlihatkan permainan kuasa yang berlebihan dan tidak menampakkan kesungguhan untuk mengukuhkan pakatan yang sementara itu.
Hal ini menjadikan sukar untuk parti-parti berbeza ideologi dalam Pakatan Rakyat bergabung, lebih-lebih lagi PAS yang sering diletakkan dalam posisi defensif dan diserang ideologinya.
Perkembangan ini menunjukkan betapa tidak selari ideologi-ideologi dalam Pakatan Rakyat, dan sekurang-kurangnya di atas kertas, memberi hujah lebih kuat kepada kelompok yang menegaskan pilihan yang rasional bagi PAS ialah perpaduan dengan sebuah parti konservatif lain.
No comments:
Post a Comment