Search This Blog

Friday, June 26, 2009

Apa Itu Blog ?

Ringkasan dari perkataan weblog. Menurut wikipedia ianya satu laman web yang dikawal dan dimiliki oleh seorang individu yang kerap mengemaskinikan lamannya dan dimuatkan juga komentar pengunjung. Ia biasa dalam bentuk karya tulisan dan boleh juga dimuatkan video atau grafik atau kesemuanya sekali.



Ringkasnya blog adalah sebuah laman web milik individu yang berupa dairi atau buku catitan harian peribadinya. Memuatkan apa sahaja yang diminati atau mahu diutara dan diketengahkan oleh pemiliknya tadi. Pemilik boleh memuatkan hal-hal politik, sastera, seni, hobi, fesyen, hiburan, kritik, masalah sosial dan apa sahaja yang terlintas difikirannya

Oleh kerana blog adalah buku catitan peribadi di alam maya, maka terpulanglah pada pemiliknya untuk memuatkan apa sahaja yang mahu diisi ke dalam blognya itu. Ia tidak bermatlamatkan keuntungan oleh itu tidak terkawal dan boleh dikawal oleh sesiapa pun melainkan pemiliknya sendiri.

Kehadiran laman-laman blog ini adalah bukti kebebasan bersuara di alam maya walaupun kadangkala kandungannya ada yang terlalu ekstrim, melampau, panas dan sebagainya namun kebebasan terus terjamin dimana penulis bebas menulis dan pembaca punya pilihan samada mahu membaca atau tidak.

Blog adalah ledakkan besar dari kemajuan ICT mutakhir, sesiapa yang menolak atau memusuhinya ternayata melawan arus dan mungkin takut akan bayang-bayangnya sendiri. Lawan blog adalah blog sebagaimana lawan bersilat adalah dengan bersilat juga, kalau lebih dari itu melampau kalau kurang tidak cerdik!

Negara-negara dunia samada demokrasi penuh atau separuh penuh malah kerajaan diktator dan kominis sekalipun ada yang membenarkan blog. Namun ada juga 10 negara yang tersenarai sebagai samada megharamkan blog atau mengawalnya, menurut "Committee to Protect Journalist" yang berpusat di New York 10 buah negara itu adalah:

1) Myanmar – dimana talian internet pernah dipotong sama sekali
2) Iran
3) Syria
4) Cuba
5) Arab Saudi
6) Vietnam
7) Tunisia
8) Cina
9) Turkmenistan
10) Mesir

Jangan kita ME-MYANMAR-KAN penulis blog. Atau memang ada mentaliti junta Myanmar dikalangan kita khasnya terhadap penulis blog.

Saya sendiri sudah menyumbang tulisan di alam maya sejak pra pilihanraya umum 1999 lagi dan saya tahu bahawa tulisan saya dan rakan-rakan lain antara yang terawal ketika itu menyumbang ke arah kejayaan perjuangan hari ini. Kemudian apabila lahirnya trend memblog, saya turut serta dan kini sudah berblog sejak 5 tahun lalu.

Insyallah demi menyongsong perjuangan yang suci ini saya akan terus begini dan sentiasa berdoa semoga saya terus diberikan kekuatan untuk berkarya demi kebaikan ummah tidak kiralah samada digemari atau dibenci. Namun kerja-kerja bodoh seperti memaki-hamun, adu-domba dan fitnah bukan kerja saya.

Wallahualam.

Apa itu blog? (Bahagian 2)

Satu perkara yang penting yang perlu diinsafi oleh setiap penulis blog bahawa apa sahaja yang terkandung dalam blog mereka akan mencerminkan keperibadian, akhlak dan pendirian serta jatuh condongnya minat dan sokongan mereka berhubung satu-satu perkara atau isu.

Melalui blognya sipenulis atau pemilik blog akan menyuarakan isi hatinya berhubung satu-satu perkara. Disitulah ia bergelut dan bertarung menjelaskan sikapnya. Ada yang menulis dengan penuh adab dan cermat, idea dimajukan dalam bentuk yang sangat cantik dan senang dibaca. Manakala ada pula yang selesa mengemukakan hujah dengan bahasa yang pekat retoriknya, kasar, padat dengan maki hamun dan fitnah. Bahasa jiwa bangsa, jika comel dan sejuk bahasanya begitulah bangsanya jika hodoh begitulah juga ia.

Dalam dunia blog sebagaimana yang saya maksudkan sebelum ini andalah raja dunia anda. Tulislah berkenaan apa sahaja yang anda minat,ulaslah berkenaan apa sahaja, suarakanlah sesuka anda. Tetapi awas, kebebasan ada hadnya. Jika karya anda menyinggung, menyentuh peribadi sesiapa, fitnah dan seumpamanya, anda menanggung risiko pertanggungjawaban. Berani buat berani tanggung. Jika ada yang berasa tersinggung atau tidak senang hati, maka walaupun anda raja tetapi anda juga tidak terlepas dari tindakan mahkamah.

Tajamnya mesej blog ini, ia mampu mempengaruhi pandangan dan sikap pembaca. Yang suka dan minat akan terus mengunjungi blog anda manakala yang menyampah akan meninggalkannya, ada juga akan tembak melalui komentar yang terpulanglah kepada pemiliknya samada mahu membenar atau menolak. Malah silap-silap anda semakin dibenci dan tidak lagi dipercayai jika karya anda memanjang menabur fitnah dan mengadu-domba.

Dari pengalaman, blog anda jika padat bermaklumat, sentiasa dikemaskini, tajam analisa dan ulasannya,anda akan mencatat kunjungan yang ramai, kerana sesungguhnya blog ini bagai media alternatif. Mampu mengemukakan maklumat alternatif kepada sesiapa yang berminat.

Tetapi awas lain padang lain belalang, kadangkala walaupun niat dan tujuan kita ikhlas, jasa dan sumbangan anda besar, tetapi jika ada yang benci, tambah pula yang benci itu berkedudukan dan berpengaruh, anda mudah menjadi mangsa. Tetapi jika blogger tadi padat blognya dengan fitnah, pembohongan, maki hamun dan nista, namun ia punya rakan yang berkedudukan dan berpengaruh, ia tetap selamat. Maka dipinggirlah yang benar dan dijulang dan dilambunglah yang mungkar.

Rupanya dunia blog pun tidak sunyi dari pengaruh nafsu dan kelemahan manusia. Kerana itulah bagi saya apa pun halnya biarlah kita ikhlas, jika kita berblog untuk menyampaikan mesej perjuangan, berjuang untuk amar makruf nahi mungkar, terus begitu. Dalam hal ini teringat saya wasiat Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad:

“Saya perlu memberitahu kepada saudara-saudara bahawa satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu turunan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi kalau keikhlasan ada pada kita, maka akan ada harapan cita-cita kita ini dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya jika kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan.”

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin