Pagi Julai 14 mungkin tarikh biasa bagi orang ramai kerana ia datang selepas 13 dan sepertimana 13, ia akan diganti dengan hari baru, tiada yang pelik dengan tarikh Julai 14. Namun bagi pengundi di Manek Urai (MN), ia adalah tarikh yang besar kerana pengundian mereka akan menentukan apa sahaja analisa yang akan dibuat mengenai parti-parti yang bertanding.
14 juga penting bagi beberapa penduduk di sekitar Kuala Kurau, Bagan Tiang dan Sg Burung dalam Parlimen Parit Buntar kerana pagi 14 itu bumbung rumah mereka tercabut kerana ribut dan angin kuat pukul 3 pagi Julai 14.
Pukul 3 pagi itu ketika ribut saya terjaga dari tidur di rumah saya dan dalam hati saya sudah teragak dengan suasana angin yang kuat itu akan ada rumah-rumah yang akan tercabut bumbungnya.
Pagi itu setelah solat subuh handphone saya dihidupkan kerana saya mengagak pegawai Pusat Khidmat saya akan menelepon untuk maklumat terkini ribut pagi tadi.
Memang betul jangkaan saya pukul 7.30 pagi hanfon berdering dan dimaklumkan kepada saya sebanyak 22 rumah yang jadi mangsa ribut semalam, kebanyakkannya di Kuala Kurau. Saya berjanji untuk turun padang dan kumpul dana dalam masa sejam dua untuk bantuan segera kepada mangsa.
Semasa berjoging pagi itu, kepala saya sedang memikirkan bagaimana nak kumpulkan dana segera untuk mangsa ribut. Oh ya.. mungkin orang bertanya mengapa saya tidak ada di MU pagi itu, bukankah ia satu hari besar PRK di Kelantan? Jawabnya saya tidak ke sana kerana demam tengahari kelmarinnya iaitu 13 apabila kembali dari menerima pingat DJN sempena hari jadi TYT Gabenor Pulalu Pinang.
Samada demam kerana dapat pingat ka atau memang tak sihat itu saya tidak tahu, namun yang pasti sejak kebelakangan ini jadua ketat saya memberi sedikit kesan kepada kesihatan, sebab itulah saya memastikan berjoging setiap pagi untuk kembali segar menjalankan tugas saya sebagai wakil rakyat. Tolong jangan andaikan alasan lain!
Selesai bantuan dihulurkan dan Alhamdulillah dana dapat dikumpulkan dalam masa sejam dua sahaja. PAS Parit Buntar memang hebat! Walaupun bukan kawasan elit dan hanya rata-rata pesawah dan nelayan tetapi semangat infaq (menyumbang ikhlas) memang tinggi, Kebajikan PAS Kawasan cepat menyediakan dana dan dicampurkan dengan saya dan ADUN Kuala Kurau, kesemua 22 rumah yang menjadi mangsa menerima bantuan segera bukan untuk membaiki rumah mereka tetapi sebagai simpati dari kami.
Janganlah bertanya berapa yang kami hulurkan.. yang penting kami prihatin! Bagi sesetengah mangsa, mereka masih ada ruang untuk tanya kepada saya semasa lawatan tentang MU? Bagaimana? Tanya mereka? Saya agak terkejut dengan soalan itu kerana sepatutnya beberapa mangsa itu memikirkan tentang rumah mereka, bukan tentang MU, tetapi rupanya mereka terlalu prihatin kepada MU dan’ mengambil kesempatan’ untuk tanya saya perkembangan di sana.
Saya memberitahu, bahawa terlalu awal untuk diberitahu keputusannya namun saya membuat analisa ringkas untuk menyedapkan hati mereka dengan berkata: “..tak tentu jugak pengundi di MU ni mereka boleh berubah, apatah lagi taburan duit dan projek yang diberi sebagai janji kalau undi BN, tapi mereka lebih bijak menentukan parti mana yang terbaik…” saya tidak mahu memanjangkan ulasan kerana bagi saya , masa ini bukan untuk cerita tentang politik, masa ini adalah menzahirkan simpati dan menghulukan bantuan. Pukul 12 tengahari selesai sesi melawat mangsa walaupun selebihnya saya menyerahkan kepada ADUN Kuala Kurau untuk menyempurnakan bantuan.
Pukul 1 tengahari banyaklah sms yang saya terima bertanya tentang MU, apa cerita?, bagaimana? Ada harapan? Kata boleh menang besar, betui ka? Malangnya talian hp saya disekat kerana belum lunas bil lagi, jadi saya tak dapat nak respons. (harap pembaca jangan terkejut talian disekat, almaklumlah YB pembangkang…), tapi rata-rata yang bertemu saya di bank di jalan dan di pejabat, itulah soalan bonus pada 14 hari itu.
Hampir petang, saya dapat maklumat peratus keluar undi tinggi, pengundi luar balik 1300 orang, PAS leading dengan 2000 undi. Masa itu bila ditanya saya pun menjawab dari maklumat yang ada, tetapi saya tak berapa yakin yang kata 2000 undi leading kerana jarang PRK kita dapat undi yang besar, tetapi hanya sekadar nak menjawab saya ambil lah maklumat itu.
Hampir maghrib saya bersiap sedia ke surau rumah saya untuk berjemaah, dapat sms dari kawan baik saya Zulkifli Lazim yang ada di sana yang telah menyalurkan maklumat sejak pagi tadi.
Smsnya berbunyi “majoriti 75 undi ja, kiraan semula, kalau menang pun banyak tu aja” Dalam perjalanan ke surau saya kebingungan dengan maklumat itu, sebaik sampai di surau, soalan bonus..macamana kita? Ada sesekali bunyi pelek Banjar. Sementara menanti iqamat, kedengaranlah teori menang 2000 majoriti dll. Saya senyap sekadar melayan dan saya belum memberitahu keputusan sebenarnya yang sahih. Malam itu semasa menonton TV di kedai makan bersama keluarga saya di Pekan Parit Buntar, terpampang besar berita Pas menang tipis 65 undi di MU.
14hb berlalu dengan berbagai persoalan, bagi orang lain mungkin hari-hari itu berlalu tanpa persoalan, bagi saya hari ini 14hb berakhir dengan berbagai persoalan masa hadapan politik Pakatan. Masa depan PAS, isu organisasi PAS, Kemelut hubungan rakan-rakan dari DAP, PKR, Pengundi Melayu, pengundi Cina, Kampung Buah Pala. Isu Babi di Kedah, Selangor, sikap kepimpinan PAS dan PR, UG, Krisis Perak dll.
Seketika isu Parit Buntar tenggelam dalam arus besar politik tetapi sesekali timbul dengan persoalan, bolehkah mempertahan kemenangan? Malam itu hanya satu sahaja ungkapan yang masih tergantung dalam benak minda saya ketika saya cuba melelapkan mata dalam keletihan “Manek Urai, Siapa yang terburai.themalaysianinsider
No comments:
Post a Comment