Oleh Mohd Sayuti Omar
LALU kerajaan pun menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock. Najib Razak tidak ada pilihan lain selain daripada akur dengan desakan dan gesaan bertalu-talu untuk menubuhkan suruhanjaya itu. Ini kerana desakan bukan saja dari DAP dan sekutunya PKR dan Pas tetapi dari parti-parti komponen BN juga. MCA dan Gerakan turut sama membuat gesaan agar ditubuhkan suruhanjaya itu.
Komponen dalam BN itu tampak begitu menonjol sekali. Adapun MIC, PPP atau parti-parti Melayu, Dayak, Melanau, Dusun dan lain-lain di Sabah dan Sarawak tidak begitu ‘gegel’ mendesak suruhanjaya itu ditubuh. Tapi kita percaya mereka juga bersetuju atas mencari keadilan.
Meneliti dari kumpulan yang mendesak ini menjelaskan parti yang masyarakat Cina atau golongan Cina yang dominan. Mungkin kerana si mati itu ialah Teoh Beng Hock berbangsa Cina. Secara tidak langsung gesaan ini menggambarkan bahawa kaum Cina begitu mengambil berat terhadap sesuatu musibah atau nasib yang menimpa diri mereka. Kesungguhan ini menjelaskan masyarakat Cina mempunyai semangat kekitaan yang tinggi. Seharusnya semangat itulah juga yang ada kepada bangsa lain termasuk Melayu.
Kerana gambaran ini jelas, maka gesaan itu sehingga tertubuhnya suruhanjaya memperlihatkan kuasa atau suara kaum Cina di negara ini latang dan sedia dipatuhi oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan. Walaupun keperluan menyiasat kes kematian misteri itu adalah keperluan bersama namun ada unsur-unsur berkenaan (kepentingan kaum) dalam hal ini. Dengan tertubuhnya suruhanjaya itu satu lagi keperluan peribadi masyarakat Cina dipenuhi.
Apakah keadaan ini berlaku sekiranya kaum lain menjadi mangsa atau tertimpa masalah begitu? Apakah orang Cina akan turtu bangkit serentak tanpa mengira ideologi politik membuat gesaan dan desakan? Mengapa ditmbulkan ini kerana selalunya kalau kaum lain, apa lagi Dayak, Dusun, Kadazan nun jauh di Sabak dan Sarawak menghadapi masalah sama pembelaan dan sokongan kepada mereka nampak tidak begitu kuat. Dan kalau ada desakan dan tuntutan dari mereka hatta Melayu sendiri kerajaan lambat untuk bertindak dan lebih bersifat lembu kenyang.
Mungkin persoalan ini diungkitkan menyebabkan ada orang mengatakan pandangan ini rasis. Tetapi inilah hakikat yang berlaku. Contoh paling mudah dan ternampak depan mata kita bagaimana kerajaan begitu peduli kepada masyarakat Cina dan bersedia saja memenuhi apa saja permintaan kandatipun ia agak ganjil dan tersasar dari kitab tatacara negara.
Misalnya kerajaan begitu berhati-hati untuk bertindak ke atas masyarakat Cina. Kalau ada mana-mana perimis milik orang Cina di tepi-tepi jalan atas kawasan setinggan yang perlu diroboh atau dialihkan, kerajaan mengambil masa begitu lama dan ada kalanya akhirnya mengalah dengan tidak bertindak?
Jangan silap faham bila ditimbulkan, bermakna saya tidak setuju dengan penubuhan suruhanjaya diraja itu ataupun tidak simpati atas kematian Teoh. Setuju. Sesiapa juga teraniaya, dizalimi dan dilaku dengan tidak adil perlu diperjuangkan dan pelakunya wajar dikutuk sekeras-kerasnya. Tetapi apa yang hendak ditimbulkan di sini kerana ada layanan tidak sama dalam hal ini. Ada kelompok Melayu yang tidak diberikan layan adil atau diberikan perhatian khusus.
Suka saya memberi contoh dalam hal ini. Bagaimana nasib masyarakat Melayu yang meneroka beberapa kawasan setinggan di sekitar ibu kota Kuala Lumpur, yang telah mendiami tanah itu berpuluh-puluh tahun akhirnya diusir begitu saja. Hak mereka dirampas. Walaupun pampasan diberi tetapi tidak setara dengan nilai bumi yang mereka terokai dan duduki. Selalunya dalam perjuangan bangsa setinggan Melayu di Kuala Lumpur berakhir dengan kekalahan dan akhirnya mereka diungsikan ke tepi-tepi hutan dan hidup kembali merempak!
Dari sudut lain apabila kerajaan sedia menubuhkan suruhanjaya itu dengan mempunyai terma-terma khas dan istimewa menjelaskan bahawa kerajan ‘sayang’ dan peduli amat kepada golongan yang membangkitkan perkara itu. Saya berharap sangat kalau kerajaan ikhlas dalam penubuhan suruhanjaya diraja itu kerana inginkan kebenaran terdedah dan keadilan terlaksana bukannya kerana elemen dan bayangan-bayangan lain. Tetapi kalau di sebalik keikhlasan itu ada motif politik, atau tepatnya ia dilaksanakan atas rasa gerun kerajaan kepada tuntutan itu ianya sungguh malang sekali.
Tindakan itu menggambarkan kerajaan juga sedia memberi apa-apa saja dengan harapan mereka tidak hilang sokongan daripada pengundi Cina. Soalnya apakah selama ini kerajaan belum banyak memberi dan menyokong masyarakat Cina di negara ini menerusi parti-parti komponen BN, MCA dan Gerakan?
Rasanya sudah banyak. Penerimaan pelbagai kemudahan sesuai dengan apa yang dimaktubkan dalam perlembagaan, masyarakat Cina sudah mendapat apa yang sepatutnya. Suara-suara yang mengatakan mereka masih dilayan tidak sama adalah suara fitrah ketamakan manusia dan itulah perjuangan sebenarnya. Orang Cina akan berjuang dan terus berjuang sampai ke tahap kedudukan mereka sama taraf duduk sama rendah berdiri sama tinggi negara ini.
Sekali lagi dikatakan, penubuhan suruhanjaya itu harus diterima semua pihak sebagai satu hadiah atas nama Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, dari kerajaan kepada rakyat. Biarlah penubuhan itu bukan dari rasa takut dan gerun kerajaan kepada tuntutan DAP, MCA dan Gerakan atau PKR tetapi ianya satu pemenuhan ke atas kehendak rakyat Malaysia demi keadilan dan kebenaran.
Semoga suruhanjaya diraja itu menyelesaikan isu yang timbul dan semua pihak mendapat manfaat daripadanya dan impilikasi daripada penubuhan itu dijadikan iktibar. Jangan lagi ada suara-suara sumbanga selepas suruhanjaya itu selesai melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. [wm.kl.6:27 am 23/07/09]
No comments:
Post a Comment