Oleh Zulkifli Yahya
"Menang walaupun satu undi, tetap menang," itulah kata-kata keramat Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu jadi Perdana Menteri. Jawapan yang diberi apabila BN mengalami kemerosotan undi dalam pilihanraya kecil. Demokrasi memang begitu. Tiada beza antara menang dengan majoriti 10 ribu undi atau dengan satu undi, sebab hanya seorang calon yang menang berhak jadi YB.
Angkatan Perpaduan Ummah menang semua kerusi DUN pada pilihanraya umum 1990 di Kelantan. Manakala pilihanraya umum 2004, PAS hanya lebih dua kerusi DUN dengan satu kerusi hanya menang majotiti dua undi. Dalam kedua-dua pilihanraya tersebut PAS yang berjaya bentuk kerajaan dan Menteri Besarnya tetap Tok Guru Nik Aziz. Tiada beza apa-apa.
Peliknya di Manek Urai, yang menang PAS tapi yang seronok lebih BN. BN terasa ‘menang’ kerana berjaya kurangkan majoriti kemenangan PAS tahun 2008 dengan banyaknya. Siang malam pagi petang pukul canang di semua media propaganda mereka kononnya sokongan rakyat untuk BN sudah pulih. Itu baru berjaya kurangkan majoriti, sudah takbur seantero alam. Kalau ditakdir BN menang di Manek Urai, bayangkan berapa bulan pula mereka nak pukul canang untuk ceritakan kepada dunia bahawa BN sudah kuat dan diterima rakyat.
Belum ada kajiselidik yang tepat berhubung sebab musabab mengapa undi majoriti PAS merosot. Semua penganalisis politik mengulas berasaskan persepsi masing-masing. Semuanya andaian belaka. Jawapan yang paling tepat terletak di minda pengundi, mengapa peralihan terhadap BN berlaku dengan besar, hampir-hampir memenangkan BN.
Secara persepsi juga, saya cenderung untuk menerima pendapat Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan lain-lain pemimpin PAS bahawa ‘rasuah’ yang ditawarkan BN sukar untuk ditolak oleh para pengundi. Janji pembinaan jambatan, bandar agro politan Manek Urai dan menjadikannya kawasan industri baru tentu menjadi pakej duniawi yang boleh mengabui mata.
BN bijak memainkan perang saraf, "Elehh terima jelah semua pakej pembangunan tu, paling lama BN pegang tiga tahun, kerajaan PAS tak tumbang pun tapi pembangunan untuk rakyat Manek Urai melimpah ruah, lepas tiga tahun pembangunan dah dapat kita beri balik dekat PAS, ini baru bijak berpolitik namanya." Memang power ayat tu! Ramai yang cair.
Dikhabarkan PAS Kelantan telah membuat laporan polis terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasin terhadap pakej ‘rasuah’ yang ditawarkan. Memang ada asas laporan tersebut kerana Muhyidin bercakap mewakili kerajaan Pusat yang telah pun wujud. Mereka memegang khazanah kekayaan negara dari duit cukai yang dikutip dari rakyat jelata. Ia berbeza dengan janji manifesto pilihanraya, di mana bakal kerajaan belum diketahui. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhak menyiasat dari aspek undang-undang sama ada terdapat unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa atau ugutan di situ. Tapi nak mengharapkan SPRM menyiasat pemimpin BN pun satu masalah juga. Sama macam suruh Amerika Syarikat siasat kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Sebenarnya dalam sejarah pilihanraya kecil di Kelantan, Manek Urai bukan pengalaman pertama di mana kemerosotan undi PAS berlaku. Dalam pilihanraya kecil Semarak, kerusi PAS berpindah tangan ke BN. Begitu juga di Pengkalan Pasir, kerusi PAS berpindah ke BN.
"PAS Kelantan mempunyai jentera pilihanraya yang sangat mantap sehingga bantuan dari luar semacam tak dihargai sangat," ulas seorang veteran pilihanraya dari Kedah mengulas mengenai keputusan di manek Urai.
Saya berhujah bahawa Kelantan mempunyai sosio budaya yang unik. Mereka bukan tidak menghargai bantuan PAS dari luar, tapi khuatir jika tersilap perhitungan maka undi PAS akan lari. Sebab itu dalam mana-mana pilihanraya pun di Kelantan, jentera mereka yang mengatur program dan tenaga luar cuma membantu. Tidak boleh orang luar pandai-pandai mengatur program sendiri.
"Masalahnya dari pilihanraya kecil DUN Semarak dulu pun, kita pergi nak membantu tapi akhirnya cuma makan tidur dan melancong saja. Kita nak buat apa pun ‘tak dibenarkan’, sedangkan mereka sendiri pun tak mengatur program hingga ke tahap maksimum; pemantauan hati ke hati terhadap pemilih secara harian, pengedaran perang saraf gerak saraf pintu ke pintu secara harian, program-program memasyarakatkan PAS dalam pelbagai bentuk secara agresif seperti yang kita buat di Kedah setiap kali pilihanraya tidak berlaku di sini, mereka macam tak tahu nak buat kerja mengubah kecenderungan pengundi selain dari ceramah," ujarnya.
Seorang lagi sahabat begitu bersemangat ke Manek Urai dengan skuad yang terdiri dari pakar komputer, pakar perang saraf dan ‘pakar’ ziarah khusus. "Sampai sini kami hanya diberi tugas mengawal keselamatan dalam kampung," ceritanya sambil ketawa berdekah-dekah.
"Di Kedah kita tak pernah hadkan jentera luar yang nak datang membantu, kalau tenaga berlebihan kita beri Surah Yasin suruh mereka bermunajat siang malam. Kita tahu yang datang membantu adalah pakar-pakar pilihanraya peringkat negeri masing-masing, pastinya jauh lebih baik dari tenaga unit peti undi tempatan, jadi tak perlu sekat kebebasan mereka mengatur program, kita tak boleh bersikap ‘bodoh sombong’" luah hatinya.
Saya berhujah dengannya, lain padang lain belalang. Mana boleh samakan cara bekerja di Kelantan dan Kedah. Memang betul PAS alami kemerosotan di Semarak, Pengkalan Pasir dan Manek Urai. Tapi kalau mereka beri kebebasan sepenuhnya kepada jentera luar pun, boleh jadi kemerostan undi lebih teruk. Tidak semua pilihanraya kecil undi PAS merosot. PAS pernah rampas kerusi BN di Pulai Chondong. Hanya ahli Madinah yang tahu hal ehwal Madinah dan ahli Mekah tahu sosio budaya Mekah.
No comments:
Post a Comment