Search This Blog

Monday, July 6, 2009

Pilihan Raya Kecil: Manek Urai : Gendang Perang Sudah Di Palu

Gendang perang" dipalu secara rasmi pagi ini di N41 Manik Urai. Tuan Aziz Tuan Mat akan mengibarkan panji-panji Barisan Nasional, manakala Mohd Fauzi Abdullah mengibarkan bendera PAS. Saya sebutkan "secara rasmi" kerana sebelum ini pun kempen sudah bermula.

Nama kedua-dua calon telah diketahui lebih awal dan mereka juga telah mula turun bertemu pengundi di situ, bagi menawarkan diri menggantikan Allahyarham Ismail Yaakob yang telah menjadi ADUN Manik Urai selama lima penggal.



Pada 14 Julai nanti, seramai 12,293 orang pengundi akan turun membuat penentuan.

Manik Urai ialah sebuah kawasan perkampungan yang terletak dalam Parlimen Kuala Krai. Ahli Parlimennya ialah Dr Hatta Ramli yang juga Bendahari PAS Pusat. Dr Hatta yang sebelum ini tewas di Gombak, dipilih sebagai Ahli Parlimen Kuala Krai pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu.

Pada pilihan raya umum 2004, calon Barisan Nasional Zulkifli Omar memenangi kerusi DUN Manik Urai dengan menewaskan calon PAS, Zamzuri Mat Lazim, dengan majoriti 53 undi. Seterusnya, pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Ismail yang digugurkan dalam pilihanraya sebelum itu dicalonkan kembali dan beliau berjaya merampas kerusi dari Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

Banyak pihak meletakkan persaingan di Manik Urai sebagai "agak sengit". Ramai yang mengatakan ia masih lagi bersifat 50-50, walaupun ada yang mengatakan ia condong "sedikit" kepada PAS. Kempen yang akan bermula secara rasmi pada hari ini akan menentukan sama ada ia kekal begitu atau pengundi sedia beralih angin.

Sejarah pilihanraya Manik Urai menunjukkan calun adalah merupakan faktor penting. Apabila Allahyarham Ismail (dikenali oleh penduduk setempat sebagai Pak Su We) digugurkan sebagai calon pada pilihanraya 2004, PAS tewas di situ walaupun kerusi DUN itu telah dikuasai oleh parti itu sejak beberapa penggal. Namun, apabila Allahyarham Ismail kembali bertanding, PAS menang semula.

Dalam konteks pilihanraya kecil ini, siapakah yang dilihat oleh pengundi sebagai lebih hampir dengan mereka. Adakah Tuan Aziz atau Mohd Fauzi?

Pilihanraya kecil ini juga dilihat sebagai medan ujian untuk Dato' Mustafa Mohamad yang dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan. Mustafa adalah seorang pemimpin yang bukan saja disenangi oleh penyokong UMNO, tetapi juga PAS. Imej bersih dan sikap bersederhana beliau diterima dan beliau hampir-hampir berjaya membawa Barisan Nasional menguasai Kelantan. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Mustafa digantikan oleh Tan Sri Anuar Musa dan dalam PRU12 lalu, Barisan Nasional melangkah banyak tapak ke belakang.

Persoalannya ialah adakah Mustafa mempunyai kekuatan untuk menarik pengundi Manik Urai memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional, Tuan Aziz?

Ketokohan Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato' Nik Aziz Nik Mat juga dipertaruhkan dalam pilihanraya ini. Rakyat Kelantan melihat Nik Aziz sebagai ikon dan ia sinonim dengan perjuangan Islam. Ada yang mengatakan selagi Nik Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan, Barisan Nasional usah bermimpi untuk mengambil negeri itu. Tentunya, bagi penyokong Barisan Nasional mereka ingin membuktikan kata-kata itu tidak tepat.

Mampukah Barisan Nasional menolak calon pilihan Nik Aziz di Manik Urai, sama seperti perwakilan Muktamar Tahunan PAS ke-55 menolak semua calon Kelantan, kecuali bekas Setiausaha Agung, Dato' Kamaruddin Jaafar?

Ada sesetengah penganalisis mengatakan isu tempatan akan menjadi faktor penentu. Malah, kejayaan Allahyarham Ismail mempertahankan kerusi DUN itu untuk sekian lama dikatakan ada kaitannya dengan faktor ini. Bagaimanapun, dalam era globalisasi, pengundi di Manik Urai juga terdedah dengan pelbagai maklumat dan saya fikir isu-isu nasional juga akan menyumbang kepada keputusan pilihanraya nanti.

Anak-anak Manik Urai yang tinggal di luar Kelantan juga akan pulang bagi membuat penentuan. Menyedari kepentingan undi dan isu yang akan dibawa bersama mereka inilah, maka Nik Aziz dan kepimpinan PAS Kelantan telah mengadakan pertemuan dengan mereka di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sekali lagi, sejauh manakah faktor isu nasional dan pengundi luar kawasan mempengaruhi keputusan pilihanraya kecil ini, sama-samalah kita tunggu 14 Julai nanti.

Seperti juga dalam lain-lain pilihanraya sebelum ini, faktor calon, parti, ketokohan pemimpin dan isu akan menentukan kemenangan. Pilihanraya kecil Manik Urai juga tidak terkecuali.

Nah, gendang sudah dipalu. Silakanlah bersilat!

Sumber http://nobisha.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin