Oleh Mat Zain Mat Isa
Sudah agak kerap kedengaran seruan oleh para pemimpin utama negara agar semua pihak mengutamakan kepentingan rakyat dan negara. Sama ada Perdana Menteri atau timbalannya, kedua-dua mereka sering menyeru parti-parti pembangkang agar mengenepikan sentimen politik dan perbezaan lain
Semua pihak disaran bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) demi negara. Dikatakan, fokus utama kini bukannya berpolitik sepanjang masa, tetapi menyelesaikan masalah rakyat, terutama dalam menghadapi kemelesetan ekonomi dan sebagainya.
Agak muluk dan ikhlas bunyinya seruan itu. Malang bagi BN, khususnya Datuk Seri Najib Razak sendiri, apabila seruan beriya-iya terhadap parti-parti lawan itu rupa-rupanya masih gagal dihayati dan dipraktikkan anak-anak buahnya sendiri.
Tindakan terbaru oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Noh Omar, yang melarang sebarang kerjasama oleh kakitangan di bawah kementeriannya dengan kerajaan negeri diperintah Pakatan Rakyat (Pakatan) sekali gus menjadikan seruan Najib itu suatu yang remeh dan tidak berwibawa.
Dalam kenyataan disiarkan akhbar 22 Julai lalu, menteri itu mengarahkan kakitangan jabatan dan agensi di bawah kementeriannya di empat negeri Pakatan agar tidak menghadiri sebarang mesyuarat pembangunan negeri, daerah atau kursus anjuran kerajaan negeri berkenaan.
Menurut Noh, arahan berkuat-kuasa serta-merta itu dilaksanakan berikutan kerajaan Pakatan di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan didakwanya gagal memberikan kerjasama kepada kementeriannya. Antara yang disebutnya termasuk tidak pernah menyalurkan peruntukan kewangan kepada jabatan dan agensi kementerian untuk menjalankan program dan projek berkaitan pembangunan pertanian dan masyarakat petani, nelayan dan penternak di negeri terbabit.
Arahan itu sedikit sebanyak menyukarkan rakyat memahami sikap dan pendirian sebenar BN dalam mencorakkan hubungan 'kerajaan dengan kerajaan' (G to G) dengan Pakatan. Sekejap dianjurkan kerjasama melangkaui batasan parti semata-mata untuk kepentingan rakyat. Kini datang pula larangan kerjasama itu diberikan walau pun ia jelas merugikan masyarakat.
Namun, bagi sesiapa yang mengenali Noh, kenyataan kerasnya Rabu lalu bukan perkara baru. Beliau memang antara pemimpin BN yang sering ada masalah untuk menzahirkan sikap kompromi dengan parti lawan.
Sebelum ini sudah banyak dipertikaikan tindakannya mensyaratkan perakuan pemimpin politik dalam pengagihan bantuan oleh jabatan dan agensi di bawah kementeriannya. Sebaik mengambil alih teraju kementerian itu, Noh telah memindahkan kuasa meluluskan bantuan atau memilih peserta program pertanian yang selama ini di tangan pegawai kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Arahan itu bukan sahaja mencabar profesionalisme penjawat awam, malah mendedahkan program kementerian kepada unsur salah guna kuasa dan diskriminasi atas merit politik.
Isu diskriminasi atau pemboikotan BN terhadap kerajaan negeri diperintah parti lawan adalah suatu yang sering dibangkit. Jika sejak dua dekad lalu hanya Kelantan dan Terengganu (ketika di bawah PAS) menjadi mangsa, tabiat buruk BN itu makin melebar selepas pilihan raya umum lalu.
Bekas Perdana Menteri pernah menegaskan kerajaan Persekutuan tidak akan meminggirkan negeri yang dikuasai pembangkang dalam mencapai matlamat pembangunan negara. Katanya, tidak akan ada sebarang diskriminasi atau pemboikotan BN terhadap kerajaan negeri diperintah Pakatan.
Bunyinya sangat adil dan bertanggungjawab. Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Sebilangan kes dialami lima negeri (termasuk Perak) menjelaskan keadaan sebenar.
Antara contoh agak ketara, pada 2 April 2008, Menteri Pelancongan, Dato' Azalina Othman mengumumkan kementeriannya membatalkan semua memorandum persefahaman (MoU) yang sudah dimeterai dengan Kedah, Perak, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang kerana tidak dapat bekerjasama dengan pembangkang.
Sehubungan itu, satu jawatankuasa diwujudkan di bawah Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) dan anggotanya akan dilantik kementerian. Manakala dana RM1 juta setahun yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan negeri tersebut akan diberi kepada MTPN.
Apa yang berlaku terhadap program sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2008 satu lagi contoh betapa BN sangat serius meminggirkan negeri-negeri diperintah Pakatan.
Sambutan kemuncak perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan tahun lalu mengikut perancangan awal sepatutnya diadakan di Kedah. Segala persiapan untuk sambutan itu telah dibuat. Namun ekoran perubahan tampuk pentadbiran negeri, ia dipindahkan ke Melaka pada saat akhir.
Satu lagi contoh agak klasik ialah dasar dibuat Ketua Menteri Melaka memboikot Kelantan dan Terengganu. Arahan yang dibuat pada April 2000 itu melarang kakitangan agensi kerajaan negerinya mengadakan lawatan rasmi ke dua negeri di perintah PAS itu. Sekatan di atas sentimen politik itu bagaimana pun gagal menjejaskan kedua-dua negeri tersebut.
Dengan perubahan pucuk kepimpinan BN dan seruan kerjasama lebih rancak kini, kita menyangka segala cerita perlakuan buruk BN yang mendiskriminasi dan memboikot Pakatan tadi akan menjadi akademik. Agak memeranjatkan, masih ada kalangan menteri yang mewarisi sikap primitif dan terlampau itu. - mks. _
No comments:
Post a Comment