Search This Blog

Thursday, July 30, 2009

Himpunan ISA: GMI & Magaran Selamat Bergasak

HARI Sabu ini, 1 Ogos akan berlangsung dua himpunan oleh dua kumpulan yang bertentangan antara satu sama lain secara serentak. Kedua perhimpunan itu mengenai akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka akan berhimpun dan berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum. Apakah acara itu boleh disifatkan sebagai pembukaan kepada acara sambutan bulan kemerdekaan 31 Ogos?

Satu kumpulan ingin menyerahkan memorandum meminta akta itu dihapuskan. Manakala kumpulan satu lagi ingin menyerahkan memorandum mendesak agar akta itu dipertahankan.

Kumpulan yang mahu ISA dihapuskan menanakan diri mereka, Gerakan Mansuhkan Isa (GMI). Sementara kumpulan yang mahu akta itu dipertahakan menamakan diri mereka sebagai Gabungan NGO Pembela Kerajaan (Magaran). Usia GMI ternyata lebih lama berbanding dengan Magaran yang diwujud sejak beberapa bulan ini saja.

Kedua-dua kumpulan ini ada rasionalnya sendiri kenapa mereka berhimpun dan membuat desakan itu. GMI menyifatkan akta berkenaan zalim dan menghalang hak asasi manusia dan ketinggalan zaman. Ia juga disifatkan sebagai akta yang wajar dikenakan ke atas haiwan saja dan diamalkan di hutan belantara. Sementara dipihak Magaran pula merasakan akta itu perlu dipertahankan untuk mengawal keselamatan negara.

Jika diamat-amati, alasan kedua-duanya itu logik dan munasabah. Keduanya masuk akal. Kalau ISA zalim ia tidak wajar diteruskan lagi kerana bertentangan dengan fitrah manusia itu sendiri. Akta itu juga bercanggah dengan piagam hak asasi manusia. Begitu juga, kalau akta itu untuk mengawal keselamatan negara dan bangsa ia juga penting. Kerana keselamatan adalah tuntutan dalam kehidupan dan satu keperluan bagi sesebuah negara. Tidak ada gunakan kebebasan kalau hak diri sendiri tergadai dan bangsa menjadi huruhara.

Ada juga pihak berpendapat dengan mengambil jalan tengah dimana akta itu tidak perlu dimansuhkan sebaliknya perlu diperbaiki dan diperkemaskan mana-mana sudut. Misalnya mengenai tempoh tahanan dan kaedah penyiasatan. Atau mereka yang ditahan hendaklah dibicarakan. Pihak ini tetap beranggapan akta itu masih diperlukan untuk keselamatan negara. Hatta kerajaan bertukar suatu hari nanti mungkin kerajaan baru itu juga akan menggubalkan undang-undang yang persisnya untuk tujuan keselamatan.

Hujah golongan ketiga ini kita faham. Akta itu akan bertindak menjadi senjata lama di zaman moden, di mana ia akan berguna bagi menghadapi ancaman-ancaman berbentuk ‘klasik’ alias licik yang tidak boleh dileraikan dengan akta moden yang sedia hari ini seperti akat kahsutan, OSA dan sebagainya. Tidak dinafikan ada pesalah terlepas disebabkan kekurangan bukti. Biasanya dalam kes seumpama inilah ISA digunakan.

Disebabkan kedua-dua pihak ada alasan tersendiri di manakah untuk orang umum berada dalam perhimpunan itu nanti? Apakah mereka perlu menyertai GMI yang agak ekstrem dalam hal ini ataupun Magaran juga kelihatan begitu taksub terhadap sokongan mereka kepada kerajaan dengan mempertahankan akta berkenaan?

Kedua pihak nampaknya akan meneruskan juga rancangan mereka meskipun pihak polis tidak mengeluarkan permit dan melarangnya. Kedua pihak sudah menyatakan agenda itu akan diteruskan. Larangan pihak polis itu tidak memberi bekas malahan ia menjadikan himpunan itu makin menarik perhatian.

Di pihak Magaran menganggarkan mereka akan mengumpulkan 70,000. Manakala dipihak GMI pula meletakkan sasaran mereka akan menghimpun seramai 50,000. Tertakdir angka yang disasaran itu tercapai ini bermakna Sabtu ini akan menyaksikan perhimpunan raksasa terbesar yang ibu kota dengan jumlah seramai 120 ribut.

Namun saya tidak yakin himpunan esok akan dapat mengumpulkan khayalak sebanyak itu. Walaupun soal ISA itu penting namun orang ramai tidak merasakan mereka perlu berada dalam himpunan itu. Kalau sekadar hendak menyerahkan memorandum ia boleh dilakukan oleh kedua pemimpin NGO itu dengan menaiki teksi secara bersama ke Istana Negara.

Pun begitu sudah pasti jumlah dipihak GMI akan berkali ganda dengan jumlah dipihak Magaran. Kebiasaan program yang didalangi oleh pihak pembangkang dan bersikap anti kerajaan mudah mendapat sambutan dan sokongan.

Apa pun tafsir berhubung himpunan itu semua pihak kena hormat kepada usaha dua kumpulan itu. Baik di pihak GMI maupun Magaran jangan dihalang himpunan mereka. Asasnya mereka bertindak atas keyakinan sendiri. Kedua-duanya yakin dengan apa yang mereka perjuangkan. Cuma dalam hal ini saya sedikit musykil dan menimbulkan kebimbangan kalau dua kumpulan itu menjadi alat kepada parti politik.

Nampaknya GMI lebih cenderong diperalatkan oleh Pakatan Rakyat manakala Magaran pula oleh pihak kerajaan. Hakikat ini menyebabkan perhimpunan esok boleh jadi simbol perhimpunan antara dua puak politik terbesar negara ini Pakatan dan UBN.

Saya tidak mahu membayangkan perhimpunan itu dicemari unsur-unsur kotor. Tetapi sekiranya begitu hakikat perhimpunan itu, perhimpunan itu nanti bolehlah dijadikan indikator untuk melihat puak mana akan menang. Sekiranya jumlah sokongan menjadi ukuran, bermakna kumpulan yang ramai penyokong bolehlah diisytharkan pemenang.

Saya percaya dalam tempoh 48 jam ini kedua pihak sedang melakukan psywar untuk memenangi himpunan berkenaan. Usaha dan kerahan kepada orang ramai dilakukan berterusan. Mungkin dipihak yang mempunyai wang akan mula memberi wang minyak untuk ke perhimpunan berkenaan.

Saya doakan semoga kedua himpunan itu akan berjaya! Biarlah kedua-duanya sempat menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertua Agong. Sesudah itu nanti Yang di-Pertua Agong akan membuat keputusan memorandum siapa yang boleh diterima pakai untuk kebaikan agama, bangsa dan negara!

Selamat bergasak GMI dan Magaran! [wm.kl. 7:15 pm 30/07/09]

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin