Search This Blog

Friday, July 31, 2009

Lampu LED lebih 'hijau'

Lampu konvensional lazimnya perlu ditukar setiap 15 bulan manakala lampu LED mampu bertahan sehingga 10 tahun.




TATKALA seluruh dunia bergelap dalam kempen tutup lampu, Earth Hour beberapa bulan lalu, mungkin ada yang skeptikal tentang siginifikannya. Bagaimana dengan menutup lampu dapat memberi manfaat kepada alam sekitar? Artikel ini mungkin secara tidak langsung dapat membuat kita lebih memahami isu tersebut.

Rata-rata lampu yang digunakan di dunia pada masa ini adalah lampu mentol atau pijar dan lampu kalimantang. Tahukah anda bahawa kedua-duanya beroperasi secara pemanasan dan turut mengeluarkan gas-gas berbahaya seperti halogen, merkuri dan karbon dioksida? Mengenai aspek pemanasan pula, jangankan lampu kalimantang yang dipasang sehari suntuk, lampu yang baru dipasang tidak sampai 10 minit pun sudah terasa panas jika anda menyentuh kaca lampu tersebut.

Menyedari peningkatan pencemaran dan kadar pemanasan global yang disumbangkan oleh lampu, negara Australia telah pun mengharamkan penggunaan lampu pijar dan kalimantang. Menjelang tahun 2010, negara Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand telah memandatorikan penukaran semua lampu mentol berfilamen dan kalimantang konvensional kepada satu lampu alternatif. Apakah dia?

Lampu yang dimaksudkan itu adalah lampu berasaskan teknologi diod pemancar cahaya atau LED. Selama ini, kebanyakan kita mungkin hanya mengenali LED dengan cahaya warna-warninya ketika berada di bengkel mata pelajaran Kemahiran Hidup. Tetapi, teknologi LED kini boleh diadaptasi menjadi satu pencetus fasa baru dalam sektor pencahayaan. Tidak mustahil kalau selepas ini, lampu pijar atau kalimantang konvensional hanya tinggal sejarah.


LAMPU kalimantang LED tidak memerlukan starter.


Sebuah syarikat bumiputera yang berpangkalan di Pulau Pinang, KCC Engineering & Trading Sdn. Bhd. turut terlibat melakukan kajian dan pembangunan teknologi LED untuk lampu. Meskipun penggunaan lampu LED masih belum meluas di negara ini, KCC sudahpun mempunyai pelanggan dari Itali, Jerman, Sweden, Jepun dan Australia.

"Lampu LED mengeluarkan haba yang sangat rendah. Ia sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke alam sekitar. Penggunaannya boleh mengurangkan kadar pemanasan dunia sebanyak 50 peratus sepanjang masa," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KCC, Abdul Khalid Mydin ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, Abdul Khalid turut menunjukkan satu model cahaya putih LED yang dimajukan syarikatnya. Warna putih sememangnya warna lazim dalam pencahayaan, namun syarikatnya juga boleh menghasilkan warna-warna lain.


TEKNOLOGI lampu LED mempunyai potensi yang besar pada masa depan. - Gambar hiasan


Menerangkan bagaimana teknologi LED beroperasi, Abdul Khalid berkata, lampu LED beroperasi secara sekejap-sekejap, itulah sebabnya ia kurang mengeluarkan haba.

"Tetapi, tidaklah bermakna lampu LED kami hanya boleh dipasang secara sekejap-sekejap. Kami telah memajukan teknologi LED ini agar ia mampu digunakan oleh pengguna sebagai produk harian seperti lampu yang biasa kita gunakan," katanya sambil menerangkan antara kaedahnya ialah dengan mengguna pakai material sokongan seperti aluminium yang boleh memindah haba.

Menyerap teknologi LED pada jenis-jenis lampu sedia ada, Abdul Khalid misalnya telah menghasilkan lampu kalimantang berasaskan teknologi LED. Operasinya nyata berbeza dengan lampu kalimantang biasa yang membebaskan gas halogen dan merkuri.


PERBEZAAN cahaya antara lampu kalimantang biasa (kiri) dan lampu kalimantang LED.





Untuk membuktikannya, Abdul Khalid telah membuat perbandingan pada kedua-dua jenis lampu berkenaan.


LAMPU mentol berfilamen yang biasa digunakan.


"Lampu kalimantang biasa memerlukan penggunaan starter, sebaliknya lampu kalimantang yang menggunakan teknologi LED tidak memerlukannya. Lampu kalimantang biasa juga akan berkelip-kelip sebaik sahaja kita membuka suis tetapi lampu LED terus mengeluarkan cahaya. Selain itu, lampu kalimantang biasa menyebabkan warna gelap di bahagian tepi berikutan proses pemanasan dan tindak balas gas.


ANTARA produk lampu berteknologi LED yang dibangunkan oleh syarikat ini.


"Cuba anda sentuh kedua-duanya, mana yang lebih panas?" kata Abdul Khalid sambil menyua kepada penulis untuk merasainya. Ternyata, lampu kalimantang biasa lebih panas daripada lampu berteknologi LED.


LAMPU LED yang biasa kita lihat.


Selain lampu kalimantang berteknologi LED, menerusi syarikat pembuatannya, KCC Global Sdn. Bhd. juga menghasilkan pelbagai lampu konvensional yang diadaptasi dengan teknologi LED seperti lampu-lampu downlight (lampu sorot).

Lebih menarik tentang lampu LED adalah ia mempunyai jangka hayat yang lebih panjang dan mampu mengurangkan kos penggunaan.

"Sebagai contoh, lampu kalimantang konvensional yang biasa kita gunakan di rumah memerlukan 40 watt tenaga, sedangkan lampu LED hanya mengeluarkan 20 watt. Oleh kerana LED menggunakan tenaga elektrik yang rendah, maka ia memanjangkan jangka hayatnya. LED mempunyai jangka hayat sekitar 35,000 jam berbanding lampu biasa yang hanya dapat bertahan sehingga 5,000 jam. Secara ringkas, lampu biasa perlu ditukar setiap 15 bulan manakala lampu LED boleh digunakan sehingga 10 tahun berasaskan penggunaan selama 10 jam sehari," katanya.

Walaupun harga lampu kalimantang berteknologi LED lebih mahal iaitu RM168 seunit, namun Abdul Khalid berkata, pengguna perlu berfikir secara jangka masa panjang.

"Walaupun lampu mentol berfilamen dan kalimantang lebih murah berbanding dengan lampu LED, tetapi jika diambil kira penjimatan penggunaan elektrik, kos keseluruhan untuk penyelengaraan lampu-lampu LED dijangka akan menyamai kos keseluruhan penyelenggaraan lampu-lampu mentol dan kalimantang dalam masa setahun penggunaannya.

"Bil elektrik juga mungkin berkurangan kerana pendingin hawa tidak perlu terlalu mengeluarkan tenaga bagi menyejukkan kawasan yang panas disebabkan lampu," katanya.

Produk lampu LED juga dilengkapi dengan elemen mesra alam. Jika lampu kalimantang biasa diperbuat daripada kaca, lampu LED diperbuat daripada plastik dan boleh dikitar semula.

Menerangkan tentang industri LED di negara ini, Abdul Khalid berkata, pembuatan LED pada asasnya telah wujud di negara ini sejak tahun 1970-an. Namun, teknologi LED yang diserap pada lampu-lampu pengguna baru dimajukan kira-kira dua tahun lalu.

"Ada lampu LED di pasaran tempatan terutamanya buatan China tetapi kualitinya agak meragukan. Terdapat juga lampu LED keluaran syarikat lampu berjenama tetapi harganya amat mahal, mencecah RM500 seunit.

"Apabila syarikat-syarikat luar negara membuat tempahan daripada kami, ini menandakan mereka meyakini produk kami. Kami juga baru menghantar prototaip lampu LED untuk pencahayaan lampu tanaman di sebuah negara Eropah. Maklumlah, negara itu bermusim dan apabila musim sejuk, mereka kurang cahaya matahari sedangkan pengeluaran hasil tanaman perlu diteruskan," katanya sambil memberitahu syarikatnya sudah mempunyai beberapa pelanggan tempatan.

"Percaya atau tidak, seorang pengkaji Sweden menyatakan, buah tomato yang dipancarkan dengan cahaya LED mampu menghasilkan rasa yang lebih sedap berbanding dengan cahaya lampu konvensional," ujarnya mengakui lampu LED mempunyai potensi untuk dimajukan dalam pelbagai bidang pada masa depan.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau menjalin kerjasama dengan syarikat KCC, boleh menghubungi talian 012....

1 comment:

  1. https://www.mudah.my/10+meter+led+lighting+diamond+shape+-78667762.htm#.XlDc_TUwBzM.link
    Payment & Postage Info
    A. Payment
    Cash or Bank-in
    B. Kos Penghantaran
    a. Poslaju (West Malaysia)
    RM7.00
    b. Poslaju (East Malaysia)
    RM13.00

    3. Anggaran Time Of Delivery Of The LED Light
    We need 10 hari untuk delivery

    4. Warranty and Other T&C
    No Warranty But We Will Give Resit So Any Problem You Just Send Back to Us For Repair Or Penggantian.

    This Light Set Dibuat Oleh Pengilang Dengan Teliti And Pre-Tested To Give You Complete Satisfaction. It Is Set Siri 'Tekan Masuk' And Will Not Light If Even One Bulb Terkeluar From Of Loose In Its Socket. Namun, Should One Bulb Tidak Menyala (But Masih In Its Socket) The Other Bulbs Will Continue To Light.
    Do Not Twist Or Turn The Bulbs When Mengeluar Or Menukarkan Lighting Location. They Have Construction Yang Sensitif And May Be Rosak By Handling Yang Kurang Teliti. It Has 100 Bulbs And Use 220V For Power Supply.

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin