Search This Blog

Wednesday, July 29, 2009

Fatwa ISA, Tanggungjawab Siapa?

Oleh Zolkharnain Abidin

ISA dikuatkuasakan semenjak 1960 dan ribuan menjadi mangsanya. Sekarang akta itu berhadapan desakan umum supaya dimansuhkan. Namun ada pro dan kontranya. Kata putus diperlukan. Salah satu institusi yang dilihat berwibawa untuk memutuskannya ialah jawatankuasa fatwa kebangsaan. Jawatankuasa ini ‘berlidah masin’.



Bekas Mufti Perlis menyarankan supaya para mufti Malaysia, atau jawatankuasa fatwa kebangsaan memfatwakan ISA. (Baca sini)

Baginya, jawatankuasa fatwa kita yang biasanya bermesyuarat di hotel-hotel besar itu tidak mengeluarkan pandangan yang besar-besar. Wang awam tidak digunakan secara efektif oleh mufti untuk kepentingan awam.

Salah satu perkara besar yang dilihat terabai untuk difatwakan ialah ISA. Sudah sampai masanya akta itu dilihat dari sudut hukumnya.

Saya menyokong Asri dalam pandangannya ini.

Sepengetahuan saya, para mufti mengeluarkan fatwa apabila diminta atau diarah. Namun, itu tidak bermakna mereka tidak boleh berbincang mengenainya. Berdasarkan tulisan Asri, seolah-olah para mufti kita tidak pernah berbincang pun mengenai ISA, apatah memfatwakannya.

Inilah sebahagian keberanian dan keterbukaan Asri yang tidak ada pada mufti lain sehingga memungkinkan dia kurang disenangi.

Ada persoalan lain lagi, mengapa tidak dirujuk kepada mufti terlebih dahulu sebelum akta itu diwujudkan?

Di Melaka, jawatan mufti secara rasmi wujud serentak dengan penubuhan majlis agama Islam negeri itu pada tahun 1960. Di Selangor dan Perak wujud semenjak 1949 lagi. Di Negeri Sembilan pada tahun 1950. Rasanya, di negeri-begeri lain juga hampir sama sahaja. Cuma bilakah jawatankuasa / majlis fatwa kebangsaan ditubuhkan, kurang dapat dipastikan.

Kalau akta itu wujud lebih awal daripada mufti, memang tidak berbangkit merujuk kepada mufti. Tetapi kalau ia wujud selepas mufti wujud, mengapa mufti tidak dirujuk?

Tak apa, biarkan sahaja persoalan itu di situ.

Persoalan pokok di sini ialah sikap kerajaan. Bukan sahaja dalam isu ini bahkan dalam banyak isu, para ulama’ secara umum dan para mufti tidak dirujuk terlebih dahulu.

ASN dan ASB misalnya, rasanya tidak dirujuk kepada mufti terlebih dahulu sebelum dilancarkan. Bila rakyat bising, barulah dirujuk kepada fatwa.

Fatwa mengenai ASN dan ASB hanya dibuat pada tahun 2008 dalam muzakarahnya yang ke 80. (Baca sini) Sedangkan ASN dirasmikan pada bulan April 1981 oleh Hussein Oon. (Baca sini) Selama 27 tahun, …ulang, 27 tahun… rakyat terlibat dengan skim itu tanpa mengetahui status hukumnya.

Mengapa ini boleh terjadi? Ketika ASN dan ASB diuar-uarkan jawatankuasa fatwa sudah ada. Mengapa tidak dirujuk? Ada banyak kemungkinan juga di sini. Boleh jadi tidak rujuk langsung, boleh jadi rujuk tetapi tiada fatwa, boleh jadi rujuk tetapi fatwanya tidak disenangi lalu disembunyikan, dan banyak lagi.

Tak apa, biarkan juga kemungkinan itu di situ.

Apa yang mustahak ialah, fatwa mengenainya hanya diumumkan 27 tahun selepas itu, mengapa? Kalau halal mengapa tidak diumumkan lebih awal. Kalau haram pula mengapa disembunyikan? Mengapa biarkan ia terkontang-kanting selama 27 tahun?

Justeru, kalau sampai kini tiada fatwa mengenai ISA, itu tidak menghairankan sangat. Bukan mufti tidak mahu memfatwakannya, tetapi mereka tidak dirujuk. Sama seperti dalam isu ASN dan ASB.

Para mufti mungkin tersilap kerana tidak pro aktif dalam isu ISA, tetapi kesilapan besar tetap menimpa pihak berkuasa.

Tentunya yang berkuasa pada hari ini ialah BN. Ah…Umnolah, takkan MCA dan MIC pula.

http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin